KUANTAN – Tindakan seorang anggota polis memeluk erat seorang wanita menghadapi tekanan perasaan sehingga tersesat ke kawasan dusun di Karak dekat sini semalam membuktikan tugas pihak berkuasa bukan sekadar menguatkuasakan undang-undang.
Sikap prihatin polis dalam insiden menyelamatkan wanita berusia 33 tahun dan seorang anaknya itu wajar menjadi contoh.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima maklumat pukul 7.10 pagi semalam sebelum menghantar anggota wanita, Koperal Norsiah Mahammud bersama bantuan bomba bagi membantu mangsa.
“Memang tidak sepatutnya wanita itu berada di tempat berkenaan namun pasukan penyelamat berjaya menenangkan mangsa. Wanita Cina itu dikatakan duduk di dalam kereta hampir setengah jam kemudian keluar daripada kereta terus menerkam dan memeluk Norsiah sambil teresak-esak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Seterusnya, menurut Zaiham, mangsa dibawa ke Balai Polis Karak dan menyerahkan mangsa kepada keluarganya.
Difahamkan, wanita berkenaan baru sahaja keluar dari wad di sebuah hospital dan terus memandu tanpa hala tuju sehingga tersesat ke dalam ke kawasan dusun di Karak.
Mangsa kemudian enggan keluar dari keretanya dalam masa yang lama kerana tertekan.
“Polis sentiasa membantu masyarakat, contoh seperti tukar tayar di tepi jalan dan kali ini mereka bertindak atas maklumat orang ramai bagi membantu wanita berkenaan atas sifat kemanusiaan yang tinggi.
“Berbuat baik setiap hari ini benda mudah, tidak perlu modal pun bahkan boleh membantu ramai orang,” kata Zaiham.
Polis Bentong, katanya, sentiasa dipupuk untuk melakukan ‘satu kebaikan satu hari’ sebagai amalan dan sikap mulia membantu masyarakat selain memastikan keselamatan orang awam terjaga.
Tambah Zaiham betapa pentingnya kerjasama masyarakat untuk membantu menyalurkan maklumat supaya pihaknya dapat bentindak segera seterusnya menyelamatkan mangsa daripada kejadian yang tidak diingini.- MalaysiaGazette