Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bercakap pada sidang media mengenai BN Youth Job Fair di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 22 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Lebih 20,000 tawaran pekerjaan disediakan dalam Karnival Kerjaya Barisan Nasional (BN) Youth Job Fair 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini bermula Jumaat sehingga Ahad ini.

Ketua Pemuda BN Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, terdapat lebih 300 agensi daripada sektor kerajaan, syarikat korporat dan swasta akan menyertai karnival yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Asyraf Wajdi, karnival yang dibuka kepada semua lepasan pelajaran itu merupakan kesinambungan karnival kerjaya yang diadakan kali terakhir pada 2017.

“Kali ini kita merasakan pasca pandemik penting untuk kita menjadi jambatan kepada pelbagai inisiatif kerajaan dan pihak swasta bagi membuka peluang dan ruang kepada mereka untuk mempromosikan jawatan dan pekerjaan yang ada.

“Kita hendak memberi tahu kepada anak-anak muda di luar sana bahawa peluang yang kita tawarkan bukan hanya untuk kelompok tertentu,” kata Asyraf Wajdi.

Antara syarikat besar yang akan menawarkan peluang pekerjaan kepada pengunjung nanti, termasuk Boustead Holdings Bhd, Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), OUM dan institusi perbankan seperti Maybank Berhad serta Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Tambahnya, mereka yang datang sebaiknya berpakaian kemas kerana sesi temuduga kerja secara langsung antara majikan dengan bakal-bakal pekerja juga akan diadakan.

Selain itu karnival ini juga boleh dijadikan sebagai pusat sehenti kepada mereka yang mahu mendapatkan modal dalam memulakan perniagaan termasuk pertanian.

“Kita melihat ada pelbagai sektor yang belum diterokai sepenuhnya oleh anak muda. Sebab itu dalam karnival kerjaya ini kita akan memaksimum dan mengoptimumkan potensi anak muda dan memadankan mereka dengan industri yang berkaitan

“Contohnya kita ada bengkel dan tawaran potensi bantuan modal daripada pelbagai agensi yang ramai tidak tahu. Antaranya dalam industri pertanian ada agensi berkaitan yang menyediakan geran yang sudah diumumkan kerajaan dalam bajet lepas.

“Anak-anak muda kita kadang-kala tidak tahu atau tidak mencari dan membuat kajian. Jadi kita sediakan platform ini supaya mereka datang beramai-ramai bertemu dengan agensi ini,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Exco Pusat Pemuda UMNO.

Karnival tersebut turut menyediakan beberapa bengkel dan perkongsian daripada pelbagai kelompok profesional dari aspek kerjaya bagi memahamkan mereka mengenai industri tertentu.

Penganjuran kali ini diadakan dengan tujuan memastikan anak muda mendapat peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor ditawarkan, khususnya ketika negara sedang beralih ke fasa endemik dan ekonomi masih dalam fasa pemulihan.-MalaysiaGazette