Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai . Foto FAREEZ FADZIL, 07 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Golongan wanita dikenalpasti sebagai kumpulan paling ramai menjadi mangsa penipuan scammer dalam talian berbanding kaum lelaki apabila merekodkan 55 peratus menerusi dapatan kajian Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak dua tahun yang lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kaum lelaki pula merekodkan 45 peratus.

Antara jenis penipuan yang terlibat adalah seperti pembelian dalam talian, Macau Scam, Parcel Scam, Love Scam dan tipu pinjaman dan pelaburan tidak wujud.

“Statistik mengikut kaum pula menunjukkan orang Melayu paling ramai menjadi mangsa penipuan scammer online iaitu 40 peratus diikuti Cina (30 peratus), India (19 peratus) dan lain-lain kaum (11 peratus).

“Malah, statistik juga menunjukkan mereka yang berusia lingkungan antara 17 hingga 40 tahun adalah paling ramai menjadi mangsa penipuan iaitu sebanyak 65 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Town Hall bersama komuniti Kepong bertajuk Elak Penipuan Scam Online” anjuran oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) 2, Kepong, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Eng Lai menambah, golongan usia 17 hingga 40 tahun itu banyak menjadi mangsa penipuan kerana golongan berkenaan banyak menggunakan telefon bimbit dan melayari sosial media tanpa had.

“Mereka terlampau obses untuk berurusan menerusi e-dagang dengan membeli barangan dalam talian terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum akhirnya menjadi mangsa penipuan.

“Manakala sebanyak 23 peratus adalah golongan berusia 41 hingga 60 tahun menjadi mangsa penipuan, yang mana kajian mendapati mereka kurang pengetahuan mengenai penipuan scammer kerana tidak membaca surat khabar dan Internet.

“Manakala wanita yang kesunyian dan memerlukan kasih sayang pula menjadi mangsa penipuan love scam apabila terpengaruh dan jatuh cinta dengan sindiket,” katanya.

Jelas beliau, mereka yang ditipu ini datang daripada pelbagai latar belakang seperti pekerja swasta khususnya golongan jurutera dan juruakaun paling tinggi terjerat dalam penipuan scammer diikuti, kakitangan kerajaan dan ahli perniagaan.