Muhammad Fauzi.

GEORGETOWN – Situasi politik semasa negara masa ini memerlukan parti dan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam serta bukan Islam yang tidak ekstrem bekerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, pihaknya yakin penyatuan ummah itu juga dapat mengelakkan tragedi 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) PRU14 berulang kembali.

Katanya, melihat suasana politik di Pulau Pinang, penyatuan ummah sangat penting bagi membenam DAP dan PH daripada memerintah negeri ini.

“Kelalaian Melayu Islam di negeri ini tidak menjalin hubungan penyatuan ummah dengan sebaiknya, maka sudah semestinya harapan untuk merampas Pulau Pinang ataupun ingin menjatuhkan DAP dan PH hanyalah suatu omong kosong.

“Pas Pulau Pinang yakin bahawa usaha penyatuan ummah ini memerlukan kesungguhan jiwa yang besar serta sikap toleransi dan sabar demi mencapai kesejahteraan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, Pas Pulau Pinang kekal dengan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan DAP dan PH.

“Khemah besar yang dicadangkan tersasar dari agenda penyatuan ummah dan cadangan itu hanya memberi nyawa kepada PH semata-mata,”katanya.

Pada Ahad lalu, Pas menegaskan bahawa parti itu menolak idea ‘khemah besar’ dan akan memfokuskan kepada agenda penyatuan ummah.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, prinsip Pas dalam seruan penyatuan ummah adalah jelas.

“Pas berdiri teguh dengan prinsip kerjasama politik yang menguatkan dahulu umat Islam dalam masa sama berdiri dalam satu perikatan dengan parti bukan Islam yang tidak ekstrem dan menjulang prinsip Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast