KUALA LUMPUR – Individu atau syarikat yang didapati terlibat dalam aktiviti penipuan dalam bidaan perolehan awam akan disenaraihitamkan oleh Kementerian Kewangan untuk tempoh lima tahun, menurut Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Ia berdasarkan Pekeliling Integriti dalam Perolehan Awam (PK 1.6) yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Kewangan mulai 1 Jun 2022.

Di bawah pekeliling baharu itu, syarikat-syarikat yang berminat untuk menyertai tender kerajaan perlulah mematuhi Akta Persaingan 2010, antara undang-undang lain yang disebut dalam pekeliling itu.

“Ia menandakan satu kejayaan bermakna bagi MyCC yang direalisasikan melalui penglibatan berterusan dengan pihak berkepentingan yang berkaitan dan usaha advokasi mengenai Akta Persaingan 2010 sepanjang satu dekad penubuhannya.

”Agensi kerajaan juga dikehendaki memberi perhatian kepada isu kartel/pakatan tipuan bida dalam perolehan kerajaan dan melaporkan kepada MyCC jika terdapat sebarang tanda pakatan tipuan bida,” menurut MyCC.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata, selain daripada isu rasuah dan penipuan yang lazimnya dikaitkan dengan ketirisan, tipuan bida merupakan ancaman besar kepada ketirisan perolehan awam.

Bentuk kartel ini berlaku apabila dua atau lebih pesaing berpakat untuk memanipulasi proses perolehan, menafikan peluang untuk pembida yang bersaing secara adil dan mengganggu proses persaingan sama sekali.

”Kami berterima kasih di atas tumpuan yang diberikan kepada Akta Persaingan 2010 dalam pekeliling PK 1.6 baharu ini dan kami akan memperkukuhkan usaha penguatkuasaan kami dalam membanteras aktiviti tipuan bida dalam tender kerajaan.”
katanya.

MyCC berkata, walaupun peraturan baru ini telah mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan pihak berkepentingan, terutamanya berkaitan keberkesanannya dalam memerangi aktiviti tersebut namun adalah satu mesej yang jelas oleh kerajaan bahawa aktiviti kartel tipuan bida tidak akan diberi sebarang toleransi.- MalaysiaGazette