Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin bercakap pada sidang media pada Pengumuman Sasterawan Negara ke-15 di Kementetian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 22 JUN 2022.

PUTRAJAYA – Presiden Persatuan Penyair Malaysia (Penyair), Datuk Rahman Shaari dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-15 yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pemilihan Sasterawan Negara baharu itu dibuat setelah melalui proses pemilihan oleh 12 panel hakim.

“Anugerah ini dikurniakan oleh Kerajaan Malaysia kepada sasterawan yang menulis dalam Bahasa Melayu dan telah memberi sumbangan cemerlang dan berterusan dalam perkembangan kesusasteraan tanah air.

“Ia melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera yang bermutu tinggi.

“Pemilihan Datuk Rahman Shaari daripada 12 calon sasterawan berdasarkan sumbangan pengembangan sastera,” katanya pada sidang media di Kementerian Pendidikan Malaysia, hari ini.

Rahman yang dilahirkan di Kampung Gial, Perlis pada 1949, mendapat pendidikan awal di Sekolah Umum Guar Nangka dan Sekolah Derma Kangar sebelum ke Alam Shah dalam aliran Sains pada 1965.

Beliau seterusnya menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1973 sebelum menjadi guru di Perlis antara 1977 hingga 1979 yang kemudian bertukar ke Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan sebagai Pegawai Kurikulum.

Sasterawan Negara baharu itu kemudiannya menyandang jawatan Profesor di Universiti Malaya pada 2003 dan kini beliau merupakan Presiden Penyair.

Rahman pernah menerima Hadiah Sastera Malaysia kategori puisi sebanyak tiga kali pada 1976, 1982 dan 1986 yang seterusnya memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada 2003.

Dalam pada itu, Radzi juga berkata, sebagai penghargaan kepada Rahman, beliau akan diberikan Warkah Penghormatan Negara, wang tunai RM60,000, penerbitan 50,000 naskhah buku atau nilai buku berjumlah RM500,000 untuk dibeli kerajaan dan disebarkan ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

“Beliau juga akan diberikan kemudahan perubatan percuma dalam wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan, kemudahan dan keselesaan untuk kegiatan mencipta karya sastera.

“Rahman juga diberikan elaun sara hidup sebanyak RM5,000 sebulan,” katanya.

Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-15 akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Ri’ayatuddin Billah Shah pada suatu tarikh yang dimaklumkan oleh pihak Istana Negara. – MalaysiaGazette