Pintu belakang Sekolah Rendah Robb yang dimasuki lelaki bersenjata sebelum melepaskan tembakan hingga mengorbankan 21 orang mangsa. Foto AP

TEXAS – Sekolah Rendah Robb di Uvalde, Texas – tempat seorang lelaki bersenjata menembak 19 pelajar dan dua guru akan dirobohkan, kata Datuk Bandar.

Don McLaughlin membuat pengumuman itu pada hari Selasa pada mesyuarat majlis yang tegang dan penuh emosi dengan penduduk menuntut jawapan berhubung kejadian tembakan itu.

Namun, McLaughlin tidak menyatakan bila sekolah itu akan dirobohkan.

Kemarahan orang ramai memuncak sejak amukan pada bulan lalu apabila polis dituduh menunggu lebih sejam untuk berdepan dengan penyerang itu.

“Pemahaman saya – dan saya mengadakan perbincangan bahawa sekolah ini akan dirobohkan. Anda tidak boleh meminta kanak-kanak kembali atau guru untuk kembali ke sekolah itu,” kata McLaughlin.

Sekolah ini mempunyai 600 orang murid.

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dilaporkan mencadangkan sekolah ini dirobohkan.

Ia bukan sekolah pertama dirobohkan selepas berlaku tembakan rambang kerana Sekolah Rendah Sandy Hook di Newtown, Connecticut juga dirobohkan selepas 20 pelajar berusia enam dan tujuh tahun serta enam kakitangan ditembak pada 2012.

Sebuah sekolah baharu dibina di atas tanah yang sama. – BBC