BUKIT MERTAJAM – Kehidupan seorang tukang kayu menjadi kucar-kacir selepas maklumat peribadinya digunakan pihak tidak bertanggungjawab bagi perjanjian penyewaan dua premis dan kini terpaksa berdepan dengan tindakan mahkamah.
Akibatnya, Ang Siang Ping, 26, kini merana menanggung hutang hampir RM500,000 dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas identitinya disalah guna.
Selain itu, dia juga didakwa telah mengubah suai meter untuk aktiviti perlombongan mata wang kripto iaitu Bitcoin.
Siang Ping percaya identitinya digunakan pihak ketiga sususlan kehilangan kad pengenalannya pada Januari 2017.
“Saya menyedari mengenai masalah ini selepas tidak dapat mengeluarkan wang di bank pada Februari tahun lalu dan dimaklumkan yang akaun bank telah dibekukan berikutan terdapat kes sivil yang difailkan terhadap saya.
“Sebulan kemudian saya dimaklumkan telah menyebabkan seorang tuan rumah kerugian RM230,611 kononnya telah mengubah suai meter TNB di rumahnya sedangkan saya langsung tidak mengenalinya apatah lagi terlibat dengan perjanjian penyewaan rumah,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Mertajam di sini hari ini.
Siang Pin berkata, perkara sama sekali lagi berlaku pada November tahun lalu apabila dia menerima saman mahkamah untuk satu kes sivil kerana berhutang RM234,747 dengan TNB atas penyewaan premis di Butterworth.
“Berikutan kedua-dua kes terbabit saya berdepan pelbagai kesukaran termasuk tidak dapat membeli kenderaan dan rumah,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berharap orang ramai lebih berhati-hati menjaga maklumat dan butiran peribadi daripada disalahguna oleh individu tidak bertanggungjawab
“Masyarakat juga perlu menjaga kerahsiaan maklumat peribadi supaya tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya. – MalaysiaGazette