Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid menunjukkan kereta yang dirampas selepas sidang media berkaitan kejayaan tiga kes pecah rumah larikan kenderaan, curi motosikal dan pecah kedai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 23 JUN 2022.

PETALING JAYA – Curi kereta mewah di Lembah Klang kemudian jual murah di Johor.

Itu modus operandi dua lelaki yang ditahan polis di Muar pada Jumaat lepas selain kesalahan kes pecah rumah, kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

Kedua-dua lelaki yang berusia 27 dan 43 tahun itu dipercayai aktif melakukan jenayah berkenaan sejak awal tahun ini.

Jelasnya, modus operandi kedua-dua lelaki tersebut adalah kawasan perumahan mewah sekitar Petaling Jaya mencuri kenderaan-kenderaan mewah.

“Siasatan mendapati kenderaan mewah yang dicuri akan dibawa ke Johor untuk dijual kepada sindiket dengan harga yang lebih murah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid bercakap pada sidang media berkaitan kejayaan tiga kes pecah rumah larikan kenderaan, curi motosikal dan pecah kedai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 23 JUN 2022.

Mohamad Fakhrudin berkata, semakan pihaknya mendapati kedua-dua lelaki itu mempunyai 10 rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.

Tambahnya, kedua-dua lelaki itu ditahan reman selama tujuh hari sehingga hari ini dan akan disambung reman.

Hasil tangkapan kedua-dua lelaki itu, pihaknya berjaya menyelesaikan empat kes pecah rumah di kawasan Petaling Jaya dan Kuala Lumpur dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 dan 379A Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette