Terminal Feri Antarabangsa Kukup. foto HAZROL ZAINAL, 07 NOVEMBER 2019.

ISKKANDAR PUTERI – Johor mempunyai pelbagai perancangan untuk membangunkan Kukup sebagai pintu masuk pelancongan Negeri Johor dan memastikan kawasan itu menjadi destinasi utama destinasi pelancongan negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan,m Alam Sekitar dan Warisan, Raven Kumar Krishnasamy berkata, perancangan tersebut membabitkan Rancangan Kawasan Khas Permas dan Pelan Induk Pelancongan Negeri Johor 2014-2023.

“Dengan pelbagai produk pelancongan berpotensi untuk diketengahkan sebagai poduk bertaraf antarabangsa, sebagai contoh, Taman Negara Johor Pulau Kukup yang telah dikenali sebagai Pulau Paya Bakau Tidak Berpenghuni Kedua Terbesar di Dunia, Kukup berpotensi untuk diketengahkan dan dibangunkan sebagai destinasi pelancongan utama negeri ini.

“Kajian yang dijalankan menunjukkan potensi kawasan Terminal Feri Antarabangsa Kukup sebagai destinasi bebas cukai adalah amat tinggi dan boleh menjadi sebagai salah satu destinasi tumpuan pelancong berbelanja.

“Sebagaimana Terminal Feri Antarabangsa Stulang Laut, Johor Bahru. Impak aktiviti membeli-belah ini sudah pasti akan meningkatkan pendapatan dan tahap ekonomi setempat,” katanya pada Sidang Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN)  Johor Ke-15, di sini, hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan yang bertanyakan samada kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk membangunkan kawasan bebas cukai di kawasan Terminal Feri Antarabangsa Kukup bagi menarik lebih ramai pelancong ke kawasan itu.

Raven berkata, berdasarkan kepada potensi yang dinyatakan daripada Pelan Induk Pelancongan Negeri Johor 2014-2023, Tourism Johor cuba mengenegahkan lokasi tersebut sebagai salah satu projek cadangan melalui Projek Zon Khas Pelaburan Pelancongan (STIZ).

“STIZ ini,melalui kerjasama awam dan juga swasta akan bekerjasama di dalam menghasilkan sektor pelancongan Johor yang lebih bernilai,” ujarnya. – MalaysiaGazette