Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Jadikan Halal Pilihan Utama di Pasaraya LotusÕs Ampang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 23 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Laporan siasatan berhubung dakwaan kewujudan kartel yang bertindak mengawal harga dan pengeluaran bekalan ayam dijangka siap pada akhir Jun.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berharap, hasil siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berkenaan akan memberikan hasil yang positif.

“Laporan dijanjikan akhir bulan enam. Saya difahamkan ada Konvensyen MyCC jadi diharap di situ ada sesuatu yang boleh diberikan hasil daripada siasatan (jalan penyelesaian).

“Saya harap ia menghasilkan suatu yang terbaik,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Jadikan Halal Pilihan Utama Anda, di bawah Inisiatif Bajet 2022, di sini, hari ini.

Pada awal Februari lali, MyCC menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat dakwaan terdapatnya pelakuan antipersaingan merangkumi perjanjian antipersaingan atau  penyalahgunaan kedudukan dominan dalam pasaran yang boleh meningkatkan harga-harga barangan dalam pasaran industri ayam.

Pada awal bulan ini, dilaporkan MyCC di peringkat akhir melengkapkan siasatan berhubung dakwaan kewujudan kartel yang bertindak mengawal harga dan pengeluaran bekalan ayam di dalam negara.

Siasatan berkenaan melibatkan beberapa saksi dalam kalangan penternak dan ‘integrator’. – MalaysiaGazette