Foto HAZROL ZAINAL, 01 MAC 2021.

SIBU – Seorang lelaki dilaporkan terjatuh ke dalam sungai di Ulu Naha, tasik Empangan Elektrik Hidro Bakun, Belaga, kira-kira 464 kilometer dari sini, Selasa lepas, ditemukan lemas kira-kira 9.40 malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, mangsa Heli Nyalong, 36, dikenal pasti oleh penduduk kampung, berasal dari Blok P, Uma Bakah, Skim Penempatan Semula Sungai Asap Belaga.

“Pada 11.30 malam semalam PGO telah menerima panggilan daripada Komander Operasi Bomba di lokasi memaklumkan mayat mangsa telah dijumpai timbul pada 9.40 malam oleh penduduk kampung pada jarak lima meter dari lokasi mangsa terjatuh,” katanya dalam kenyataan awal pagi ini.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke rumah panjang berhampiran sementara menunggu untuk dibawa ke Hospital Nyabau, Bintulu hari ini bagi tujuan bedah siasat sebelum diserahkan kembali kepada keluarganya untuk dikebumikan.

Menurutnya, Balai Bomba dan Penyelamat Belaga menerima panggilan tentang kejadian itu pada 3.15 petang Selasa dan tempoh perjalanan menggunakan bot dilengkapi enjin sangkut 40 kuasa kuda ke lokasi kejadian adalah kira-kira empat jam. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast