Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – Semua pemimpin UMNO dinasihatkan agar membuat sebarang kritikan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggunakan saluran yang betul.

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, tindakan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mengkritik Ismail Sabri secara terbuka adalah sesuatu tindakan yang tidak wajar.

“Sebagai seorang yang pernah menjadi timbalan menteri dan ahli Parlimen dan sekarang ketua bahagian, dia (Nur Jazlan) tidak sepatutnya buat teguran seumpama itu, carilah saluran yang ada dalam parti.

“Saya rasa sedih sebab kita sedang kumpul kekuatan untuk pergi kepada Pilihan Raya Umum (PRU) dan tak payah ada komen seumpama itu,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Kompleks Industri FELCRA Processing & Engineering Sdn Bhd (FPESB) di Teluk Intan hari ini.

Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar mengulas kritikan terbuka Nur Jazlan yang menganggap Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dari UMNO yang paling lemah dalam sejarah.

Beliau menyifatkan kenyataan Nur Jazlan itu sebagai pandangan peribadi dan tidak mewakili mana-mana organisasi.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap menjelaskan, kenyataan Nur Jazlan itu juga tidak menggambarkan UMNO berada dalam keadaan berpecah.

Sebaliknya, kata beliau, UMNO kini berada dalam solidariti yang baik dan kukuh.

Tambahnya, adalah lebih baik bagi seseorang pemimpin UMNO untuk berdiam diri dan tidak membuat sebarang kritikan secara terbuka yang boleh menimbulkan polemik.

Media sebelum ini melaporkan kenyataan Nur Jazlan yang mengkritik tindakan Ismail Sabri lewat membuat keputusan berhubung jawatan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin dalam Kabinet.

Ia berikutan tindakan Zuraida mengumumkan perletakan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 26 Mei lalu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast