Warga emas antara enam sekeluarga yang diselamatkan pasukan bomba selepas rumah mereka ditenggelami banjir kilat di Jalan Bukit Senjuang, Melaka pagi tadi. Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BB) Padang Temu, Pegawai Bomba Kanan II Hazalani Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.38 pagi.

MELAKA – Seorang pesakit kanser warga emas termasuk lima ahli keluarganya diselamatkan pasukan bomba selepas rumah mereka ditenggelami banjir kilat di Jalan Bukit Senjuang, di sini, pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BB) Padang Temu, Pegawai Bomba Kanan II Hazalani Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.38 pagi.

Menurutnya, sepasukan enam anggota bersama-sama sebuah jentera telah dikejarkan ke lokasi untuk operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir.

“Sebaik tiba di lokasi didapati rumah mangsa telah dinaiki air pada paras satu kaki bersama seorang warga emas berusia 87 tahun sedang sakit terlantar.

“Mangsa bersama lima ahli keluarganya yang lain berusia antara 80 hingga 11 tahun dipindahkan ke rumah jirannya yang tidak terjejas akibat banjir,” katanya.

Kampung Paya Rumput, Tangga Batu antara kawasan terjejas banjir di Melaka, pagi ini.

Hujan lebat dan ribut sejak jam 3.30 pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan rendah di negeri ini ditenggelami banjir antara paras 0.2 meter hingga 0.5 meter.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, antara kawasan terjejas ialah Batu Berendam, Kampung Musai, Bukit Katil, Bukit Rambai, Tanjung Kling, Melaka Baru, Taman Desa Molek, Kandang, Taman Kota Laksamana, Cheng, Bachang, Peringgit, Jalan Gangsa, Jalan Ong Kim, Taman Cempaka, Kampung Paya Rumput Tangga Batu dan Malim.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka bagaimanapun melaporkan keadaan di semua kawasan masih terkawal dan tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat jam 8 pagi tadi. – MalaysiaGazette