Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Kempen Jadikan Halal Pilihan Utama di Pasaraya LotusÕs Ampang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 23 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 71 pembekal halal tempatan berkesempatan mempromosikan produk masing-masing menerusi ‘Kempen Jadikan Halal Pilihan Utama Anda’ yang berlangsung selama tiga bulan.

Kempen berkenaan diadakan di 64 buah cawangan pasar raya Lotus’s seluruh negara dengan 389 jenis Stock Keeping Unit (SKU).

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, kempen ini merupakan peluang untuk pengusaha halal tempatan mempromosikan produk mereka.

“Saya harap program ini akan dapat menggiatkan jualan produk halal dan promosikan barang dengan promosi harga menarik, untuk membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKMS)  halal tempatan untuk terus berkembang dengan pantas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Kempen Jadikan Halal Pilihan Utama Anda yang diadakan di Lotus’s Ampang.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari dan Presiden Lotus’s Malaysia, Kenneth Chuah.

Beliau berkata, produk halal tempatan negara adalah antara yang diyakini oleh pelbagai lapisan masyarakat justeru usaha mempromosikannya perlu digiatkan agar dapat bersaing dengan produk halal antarabangsa.

“Produk halal kita ini kalau halal orang percaya dan yakin. Jadi perlu diperluaskan ke peringkat antarabangsa. Pembangunan produk halal PKMS sedia ada adalah penting kerana mempunyai potensi pasaran yang besar bukan sahaja dalam negara,” katanya lagi.

Sebagai rekod, Kempen Jadikan Halal Pilihan Utama Anda merupakan kerjasama di antara Lotus’s Malaysia dengan Halal Development Corporation (HDC).

Kempen ini diadakan untuk meningkatkan kebolehpasaran produk halal buatan Malaysia. – MalaysiaGazette