Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Indera Shahar Abdullah bertemu petugas daripada Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) sempena Program Kementerian Kewangan Bersama Pelanggan di Dewan Dato' Sri Abdul Manan Ismail, di sini hari ini.

KUANTAN – Bajet 2023 akan memberi tumpuan kepada isu-isu yang berkaitan kenaikan kos harga barang dan bekalan, selain proses pemulihan negara menuju ke arah fasa endemik.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Indera Shahar Abdullah, intipati Bajet 2023 yang sedang dirangka juga akan memfokus kepada kadar inflasi negara dan inisiatif lainĀ  berpaksikan kepada rakyat.

Lantaran itu, Kementerian Kewangan (MoF) memerlukan pandangan rakyat untuk mengetahui jika inisiatif-inisiatif yang dibuat kerajaan boleh diterima berdasarkan kenyataan Pra Bajet yang dikeluarkan 3 Jun lalu.

“Ini merupakan tahun kedua Kementerian Kewangan mengeluarkan kenyataan pra bajet,” katanya selepas meninjau tapak pameran Program Kementerian Kewangan Bersama Pelanggan di Dewan Dato’ Sri Abdul Manan Ismail, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Paya Besar berkata, program ini merupakan usaha berterusan pihak kementerian untuk memperoleh maklum balas secara terus dengan rakyat.

Shahar Abdullah berswafoto bersama peserta pameran dari Bank Negara Malaysia (BNM) di Program Kementerian Kewangan Bersama Pelanggan di Dewan Dato’ Sri Abdul Manan Ismail, di sini hari ini.

“Ia juga memberi ruang dan peluang kepada MoF untuk bertanya pandangan dan cadangan mereka untuk kita merangka Bajet 2023 yang sedang digubal.

“Alhamdulillah, daripada pagi sehingga ke waktu ini, kehadiran masyarakat yang berada di Pahang khususnya yang berada di Daerah Kuantan ini amat baik sekali,” katanya.

Program terbabit berlangsung selama dua hari, bermula hari ini dengan penglibatan sebanyak 26 agensi di bawah kementerian itu.

Papan putih bertulis ‘Aspirasi Bajet 2023′ yang ditempatkan untuk pengunjung menyuarakan pandangan terhadap penggubahan Bajet 2023 di Program Kementerian Kewangan Bersama Pelanggan di Dewan Dato’ Sri Abdul Manan Ismail, di sini hari ini.

Selain menyediakan dua dewan pameran untuk bertemu agensi yang mengambil bahagian, penganjur juga menyediakan program berbentuk taklimat dan forum bual bicara.

Hari pertama program dimulakan dengan sesi taklimat bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), diikuti sesi bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).- MalaysiaGazette