MELAKA – Bekalan daging lembu dan kerbau di negeri menjelang Hari Raya Aidiladha bulan depan bukan sahaja dijamin mencukupi, malah melebihi dari jangkaan permintaan.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, jangkaan itu berdasarkan permintaan sekitar 5,500 ekor di seluruh negeri seperti kebiasaan tahun-tahun sebelum ini.

“Berdasarkan kebiasaan itu, kita jamin bekalan lembu dan kerbau ini mencukupi malah penternak di Melaka mempunyai lebih 7,000 ekor haiwan untuk perayaan Hari Raya Korban tahun ini.

“Jadi umat Islam masih mempunyai masa untuk membuat tempahan terutamanya tahun ini Melaka tidak menghadkan bilangan korban seperti tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Pesta Durian 2022, Jom Makan Sampai Puas berkonsep bufet anjuran Hotel MITC di Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Hotel MITC Sazali Sabri.

Sazali (tengah) menunjukkan antara durian yang disediakan iaitu durian kampung, D24, IOI dan Udang Merah dengan kadar bayaran bufet RM48 bagi dewasa dan RM18 untuk kanak-kanak di Hotel MITC, Melaka pada Pesta Durian 2022 Makan Sampai Puas sehingga Ahad ini.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, berdasarkan lawatan dan tinjauan Jabatan Perkhidmatan Veterinar ke ladang penternak dan pengendali ternakan mendapati, masih ada baki lembu korban yang belum terjual.

“Bekalan masih banyak cuma harga sahaja berlaku sikit peningkatan mengikut saiz lembu,” katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali hari ini mengumumkan Melaka membenarkan pelaksanaan penyembelihan korban pada Hari Raya Aidiladha tahun ini di masjid dan surau tanpa menghadkan bilangan haiwan dan hari.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuaratnya bersama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) baru-baru ini, setelah negara kini berada dalam fasa peralihan ke endemik COVID-19 sejak 1 April lalu.

Tahun lalu, Melaka menetapkan hanya 25 petugas berdaftar sahaja dibenarkan hadir ke tempat pengurusan korban di masjid dan surau dengan bilangan haiwan korban terhad kepada lima ekor sehari.

Peserta korban pula tertakluk kepada bilangan lembu yang disembelih iaitu tujuh peserta bagi setiap lembu dan hanya dilaksanakan hanya dalam tempoh empat hari.

Pesta Durian 2022 Jom Makan Sampai Puas diadakan di Brisu Courtyard Hotel MITC selama tiga hari di bermula hari ini sehingga Ahad.

Pesta dengan kerjasama Dusun Durian Eco Do Bem di Bemban, Jasin itu menyediakan lapan jenis raja buah itu antaranya durian kampung, D24, IOI dan Udang Merah.

Kadar bayaran dikenakan ialah RM48 bagi dewasa dan RM18 untuk kanak-kanak dengan kadar masa ditetapkan untuk makan sepuas-puasnya dalam tempoh satu jam setengah.

Pesta terbuka kepada orang ramai bermula jam 10 pagi hingga 9 malam esok dan Ahad. – MalaysiaGazette