Zainal Mohamed Mohamed berasama SAC Baharudin Mat Taib di majlis melupuskan barang kes jenayah di IPD Gombak. Gambar Kumara Sabapatty

KUALA LUMPUR – Pelbagai alasan seperti disamun, diragut atau dipukul dikemukakan dalam laporan palsu kehilangan kad pengenalan yang diterima polis dalam usaha mengelak membayar denda kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya telah menerima sebanyak 73 laporan palsu membabitkan kehilangan MyKad bagi tempoh Januari lalu sehingga hari ini.

Tambah beliau, daripada jumlah itu, 71 kes telah didakwa di mahkamah manakala baki dua kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

“Hasil siasatan dilakukan mendapati kebanyakan individu membuat laporan palsu berkenaan mengelak mahu membayar denda kehilangan kad pengenalan (MyKad).

“Semakan dilakukan dengan pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati individu yang kehilangan kad pengenalan perlu membayar denda RM110 (kali pertama), RM310 (kali kedua) dan RM1,100 (kali ketiga),” katanya selepas majlis Pelupusan Barang Kes, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini.

Hadir pada majlis Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib.

Menurutnya, mereka yang didapati bersalah bagi kesalahan membuat laporan palsu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Zainal Mohamed berkata, pihaknya telah melupuskan 12,438 barang kes membabitkan 1,335 kertas siasatan yang dibuka pada 2010 hingga tahun ini.

“Barang kes berkenaan yang bernilai RM 5.3 juta itu membabitkan kes disiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Gombak selain kami turut melupuskan 50 wang palsu berjumlah RM4,350 membabitkan 43 kertas inkuiri polis menerusi siasatan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Gombak serta barang kontraban komputer judi dan alat bitcoin,” ujarnya.

Jelasnya, tindakan perlupusan ini dilaksanakan selepas mendapat perintah majistret selepas kes selesai dibicarakan dan pesalah dikenakan hukuman oleh mahkamah. – MalaysiaGazette