Datuk Seri Mohamed Mustafa Ishak
Datuk Seri Mohamed Mustafa Ishak

BANGI – Tiada perubahan drastik dalam arena politik negara sekiranya gabungan besar dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seperti mana yang berlaku kepada kerajaan Perikatan Nasinonal (PN) disebabkan sokongan yang tidak kukuh.

Menurut Pengerusi Eskekutif World Business Affairs Sdn Bhd, Prof Emeritus Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak, situasi seperti Langkah Sheraton boleh berulang dan membuatkan politik negara semakin buruk.

Justeru itu, idea ke arah gabungan besar ataupun khemah besar perlu diwujudkan sebelum Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

“Kalau kita bertanding dahulu dalam PRU15 kemudian baru baru hendak tentukan siapa yang nak duduk dalam kerajaan maka itu adalah resepi ketidakstabilan, kita mungkin ulang balik apa yang telah berlaku sejak 2018.

“Itu formula yang dibuat di negara-negara lain, bila tak cukup kerusi maka cari untuk bentuk kerajaan.

“Gabungan besar sebelum ini mewakili semua kepentingan dibina sebelum PRU, bila bertanding kurang ‘politiking’, yang menjadi masalah sekarang adalah terlebih berpolitik kadang nak berebut kuasa dan akibat daripada itu tumpuan pada pembangunan negara, dasar, ekonomi dan tumpuan kepada isu-isu negara tidak dapat buat sehingga isu harga ayam pun tak dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Bicara Persada ke 61 berjudul Menjunjung Titah Hari Keputeraan KDYMM Tuanku YDPA: Apa tindakan seterusnya? di Persada Canselori Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.

Turut sama adalah Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali, dan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA-UKM) Prof Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin.

Jelas Dr. Mohamed Mustafa, langkah untuk membentuk gabungan besar selepas PRU15 tidak akan dapat menyelesaikan masalah kerana ia merupakan punca kepada ketidakstabilan politik di negara ini.

“Satu cara terbaik adalah untuk kita memastikan bahawa sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk dengan kembali ke gabungan besar yang boleh menang pilihan raya dengan selesa tapi ada jumlah kerusi yang cukup untuk memerintah negara tanpa perlu binbang esok atau lusa ada pihak yang akan lompat parti dan kerajaan itu runtuh,” jelasnya lagi.

Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin

Dalam pada itu, menurut Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA-UKM), Prof Ulung Datuk Dr. Shamsul Ami Baharuddin, PRU15 tidak perlu disegerakan.

Menurut beliau, keutamaan rakyat yang semakin terhimpit dengan tekanan ekonomi, kenaikan harga barang keperluan, dan pemansuhan subsidi menjadi aspek penting kepada kerajaan.

Beliau menyifatkan ‘perut rakyat’ menjadi aspek utama kepada kerajaan.

“Kebajikan dan juga keadaan rakyat yang menghadapi kesukaran hidup untuk mencari pendapatan dan meneruskan hidup.

“Jadi kerajaan nak dahulu yang mana satu, selesaikan masalah rakyat atau adakan PRU dahulu. Pada saya kerajaan kena jaga perut rakyat dahulu. PRU sepatutnya dihabiskan sehingga penggal 2023 kerana banyak dasar kerajaan yang bermula dari zaman BN dahulu masih tidak selesai,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya PRU15 dibuat secara segera, yang akan rugi adalah rakyat.

Katanya, jika berlaku lagi perubahan dalam kerajaan, maka kepentingan rakyat itu akan diabaikan.

“Bila berubah kerajaan, disitulah ahli politik memainkan peranan samada mengangkat ataupun mementingkan diri masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette