logo mahlamah

JOHOR BAHRU – Sebuah syarikat resort dan bot penumpang didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Kota Tinggi, semalam kerana beroperasi tanpa keanggotaan yang mencukupi, April lepas.

Pengarah Zon Maritim Mersing Komander Maritim, Khairul Nizam Misran berkata, Majistret Rashidah Baharom menjatuhkan hukuman itu ke atas Winter Snow Sdn Bhd yang diwakili seorang lelaki berusia 61 tahun selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Beliau berkata wakil syarikat itu membayar denda berkenaan.

“Maritim telah mendakwa syarikat resort dan bot yang terlibat dalam kejadian empat penyelam warga asing hilang ketika membuat latihan selaman di perairan Pulau Tokong Sanggol pada 6 April lepas dan tiga daripadanya berjaya ditemukan, manakala seorang penyelam remaja lelaki tidak ditemui.

“Maritim telah membuat siasatan lanjut ke atas pengusaha resort dan bot, serta pengendali bagi mengenal pasti punca-punca kemalangan atau kecuaian yang berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Nizam berkata hasil siasatan lanjut mendapati, sewaktu hari kejadian, bot tidak dikendalikan dengan kru yang mencukupi sebagaimana yang dikehendaki oleh Pegawai Pelabuhan di bawah Akta Perkapalan Saudagar 1952.

“Wakil syarikat didapati bersalah oleh mahkamah kerana telah melakukan kesalahan di bawah Kaedah 12 Peraturan Bot 1953 iaitu beroperasi tanpa keanggotaan yang mencukupi dan telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000,” katanya.

Beliau berkata, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Azlan Bohari, manakala wakil syarikat tidak diwakili peguam.

Justeru, Khairul Nizam mengingatkan kepada semua pengusaha resort dan bot supaya mengikut segala undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan sebelum menjalankan aktiviti rekreasi air bagi mengelakkan sebarang kejadian kemalangan di laut berlaku termasuk kehilangan nyawa.

Pada 6 April lepas, empat penyelam warga asing dilaporkan hilang di perairan Pulau Tokong Sanggol, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman, Mersing.

Tiga penyelam Kristine Grodem, 35, warga Norway, Adrian Peter Chesters, 46, warga British dan Alexia Alexandra Molina, 18, warga Perancis ditemukan selamat manakala Nathen Renze Chesters, 14, warga Belanda meninggal dunia. – Bernama