Isham Jalil Information Chief Selangor BN sacks
Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor yang digugurkan, Isham Jalil, muncul di Menara Dato Onn bagi mengikuti mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini.

Beliau hadir dengan mengenakan baju bunga warna merah seiring dengan beberapa ahli MKT yang lain.

Isham tiba di bangunan tersebut kira-kira pukul 8.10 malam dan kehadirannya menyebabkan pengamal media yang berada di situ untuk membuat liputam tertanya-tanya.

Kemunculannya menimbulkan spekulasi kerana Isham bukanlah anggota MKT.

Terdahulu hari ini, media melaporkkan Isham dipetik mengesahkan, beliau dijemput untuk hadir ke mesyuarat MKT malam ini.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan mengenai jemputan yang diterimanya daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Isham digugurkan daripada jawatannya sebagai Ketua Penerangan BN Selangor oleh BN Selangor.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempunyai kuasa mengikut Perlembagaan UMNO bagi melantik 13 orang Ahli MKT termasuk Setiausaha Agung, Ketua Penerangan serta Bendahari UMNO.

Desas-desus mengatakan, Isham antara individu yang disebut-sebut bakal dilantik menjadi anggota MKT bagi menggantikan tempat Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang digugurkan daripada ahli MKT UMNO.

Media melaporkan Ahmad Zahid menerusi surat bertarikh 21 Jun lalu yang dikeluarkan Datuk Seri Ahmad Maslan menamatkan pelantikan Tajuddin sebagai ahli MKT UMNO.

Ahmad bagaimanapun tidak menyatakan sebab Tajuddin dipecat dalam surat itu, selain berharap Tajuddin akan meneruskan khidmatnya sebagai ahli parti yang komited dan merakamkan ucapan tahniah atas pelantikannya sebagai duta besar.

UMNO malam ini mengadakan mesyuarat bagi membincangkan beberapa isu termasuk perkara berkaitan Pilihan Raya Umum.

Mesyuarat dijadual bermula pukul 9 malam dan terdahulu pada sebelah petang Biro Politik UMNO telah bermesyuarat terlebih dahulu. – MalaysiaGazette