UMNO Johor compete solo PAS state election Nur Jazlan
Nur Jazlan Mohamed

KUALA LUMPUR – Semua pemimpin mahupun ahli UMNO adalah termaktub kepada Perlembagaan parti seperti mana yang ditulis dalam Fasal 20.8.

Menurut Profesor Emeritus di Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh, dalam fasal itu semua pemimpin dan ahli perlu patuh dan menghormati keputusan-keputusan parti, memelihara nama baik dan maruah parti dan sentiasa menunjukkan tatalaku yang sopan lagi tertib.

“Pasti saja ada yang akan mengingati peristiwa Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Adam, dipecat daripada UMNO pada 7 Februari 2020 atas tindakan beliau menyelar secara terbuka Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.

“Tidak dinafikan bahawa tindakan pemimpin UMNO menyelar secara terbuka mana-mana pemimpin tertingginya merupakan satu perlanggaran disiplin parti yang boleh menjejaskan nama baik parti dan boleh menyebabkan pelakunya dikenakan tindakan disiplin,” tulis Dr Wan Hashim dalam satu kenyataan, hari ini.

Ia ekoran kritikan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menyelar Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri UMNO yang bercelaru, menjadi ‘tebusan’ pihak tertentu dan paling lemah dalam sejarah negara.

Nur Jazlan sebelum ini memberikan alasan Ismail Sabri terlalu lambat membuat keputusan mengenai kedudukan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin yang bertindak keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) pada 26 Mei lalu.

Mengulas lanjut, Wan Hashim berkata, tindakan mengkritik pemimpin UMNO itu boleh disamakan dengan perbuatan menembak kaki sendiri.

Malah katanya, kritikan terbuka itu boleh digunakan pihak pembangkang sebagai senjata bagi menghilangkan keyakinan pengundi terhadap Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

“Ia pasti akan melemahkan keutuhan UMNO dan akan dipergunakan oleh parti lain untuk menghilangkan keyakinan rakyat kepada UMNO.

“Apatah lagi bila pemimpin tertinggi yang diselar itu adalah pemimpin yang telah dipersetujui secara sebulat suara oleh MKT UMNO pada 14 April lalu untuk dijadikan sebagai ‘poster boy’ dan calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU15,” katanya.

Justeru itu, beliau berkata, langkah terbaik bagi memastikan perkara ini tidak lagi berlaku adalah dengan mengenakan tindakan disiplin kepada Nur Jazlan.

Jelas Wan Hashim, ia jelas memberikan impak negatif terhadap UMNO dan kepimpinan parti itu.

“Sepatutnya mana-mana pemimpin yang berkeyakinan rendah begini harus mengundurkan diri dari memimpin parti baik di peringkat bahagian apatah lagi di peringkat negeri bagi memberi ruang kepada pemimpin yang lebih muda dan lebih berkeupayaan untuk memimpin.

“Mendesak PRU 15 dilangsungkan secepat mungkin dalam keadaan di mana pemimpin yang membuat desakan itu sendiri tidak mempunyai keyakinan bahawa UMNO akan menang adalah umpama tindakan ‘kamikaze’ sedangkan ‘membunuh diri’ adalah dilarang oleh agama,” katanya. – MalaysiaGazette