Tengku Razaleigh Hamzah

KUALA LUMPUR – Tengku Razaleigh Hamzah mengesyorkan gaji semua menteri dan ahli politik dalam pentadbiran kerajaan dipotong 80 peratus.

Veteran UMNO itu juga mencadangkan elaun berkaitan dengan jawatan dihapuskan sehingga kedudukan kewangan negara pulih sepenuhnya.

“Dalam keadaan sekarang, saya syorkan gaji menteri dan semua ahli politik yang dilantik menerajui pentadbiran kerajaan dipotong sebanyak 80 peratus.

“Begitu juga semua elaun mereka dipotong 80 peratus atau dihapuskan terus, sehinggalah kedudukan kewangan negara pulih,” katanya di sini, hari ini.

Tengku Razaleigh dipercayai membuat pengesyoran itu berikutan tindakan FGV Holding Berhad,dengan 80 peratus kepentingannya dikuasai Felda, menaikkan elaun tahunan Pengerusi dan Ketua Pengarahnya sebanyak RM180,000.

Dengan kenaikan elaun itu, pengerusi yang juga Ketua Pengarah Felda akan menerima elaun sebanyak RM480,000 berbanding RM300,000 sebelum ini.

Menurut Ahli Parlimen Gua Musang itu, gaji dan elaun bagi semua jawatan dalam GLC serta badan berkanun yang tidak mengalami kerugian atau susut nilai aset, tidak boleh dibayar melebihi 75 peratus daripada gaji menteri sesudah dipotong 80 peratus.

Katanya, gaji bagi mereka di peringkat pengurusan hanya dibayar separuh, manakala peringkat pengarah pula satu perempat sekiranya syarikat atau GLC diterajuinya mengalami kerugian.

“Gaji dan elaun yang telah dibayar melebihi had dan piawaian hendaklah dipulangkan kepada agensi berkenaan bermula awal tahun 2019.

“Ramai antara mereka mungkin tidak berkelayakan menerima gaji RM5,000 hingga RM6,000 sebulan pun,” katanya. – MalaysiaGazette