Keadaan MPV yang dinaiki lapan sekeluarga tersebut selepas terbabit dalam nahas di Kilometer 26, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands

IPOH – Seorang parah manakala tujuh lagi cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 26, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.05 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Jelasnya, nahas membabitkan Perodua Alza dinaiki lapan sekeluarga itu dari Simpang Pulai menghala Cameron Highlands, manakala Toyota Hilux yang dipandu lelaki warga Bangladesh dari arah bertentangan.

Pihak bomba memberi bantuan awal kepada mangsa sebelum dihantar ke hospital.

“Sebaik tiba di lokasi, kita dapati semua mangsa sudah dikeluarkan dari kenderaan masing-masing oleh orang awam.

“Mangsa yang cedera diberi rawatan awal sebelum kemudiannya dihantar ke hospital menggunakan ambulans dan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah jurucakap itu, mangsa yang parah adalah seorang wanita yang duduk di bahagian penumpang belakang  manakala pemandu Bangladesh itu tidak mengalami kecederaan.

Operasi tamat pada 12 tengah hari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast