Datuk Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) akan mengkaji dan meneliti syor-syor yang telah dikemukakan berhubung cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, satu draf Rang Undang Undang (RUU) berkaitan pindaan berkenaan akan disediakan oleh Jabatan Peguam Negara.

Menurutnya, sesi libat urus turut diadakan bersama pakar-pakar akademik dan ahli Dewan Rakyat bagi mendapatkan pandangan lebih lanjut mengenai cadangan pemansuhan tersebut sebelum dibentangkan di Parlimen pada Oktober nanti.

“Kerajaan secara prinsipnya telah bersetuju dengan cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori selepas Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun.

“Selaras dengan keputusan tersebut satu perjumpaan di antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun telah diadakan pada 20 Jun 2022,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kerajaan amat berterima kasih di atas kerjasama semua pihak yang terlibat dalam perkara berkenaan dan berharap RUU itu dapat dilaksanakan dan dikuatkuasakan mengikut garis masa yang telah ditetapkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast