The chickens at the Malaysian Agricultural Research and Development Institute (MARDI) in Serdang, Selangor. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 05 NOVEMBER 2020. chicken price farmer eggs
Gambar hiasan

PEMANSUHAN RM700 juta subsidi untuk harga siling ayam mentah, minyak masak dan telur seperti yang diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi pada 21 Jun 2022 lalu menjadi perhatian orang ramai sekali gus menjadi kerisauan kepada pengguna dan pembekal.

Kenaikan harga barang ini dilihat menyumbang pelbagai kesan kepada corak perbelanjaan masyarakat, khususnya golongan mahasiswa. Sudahlah pelajar dibebankan dengan masalah kewangan yang sedia ada, ditambah pula dengan kenaikan harga barang yang kini ditentukan oleh pasaran.

Kekangan kewangan yang dihadapi oleh golongan mahasiswa di IPT bakal memaksa mereka untuk mengikat perut dengan hanya makan sekali sehari, kerap berpuasa, bergantung kepada roti dan mi segera. Itu tidak termasuk lagi dengan komitmen mereka untuk menjelaskan yuran pengajian, yuran asrama atau bayaran rumah sewa bulanan dan penggunaan minyak petrol untuk kenderaan.

Sehubungan dengan itu, pencatuan wang saku dilihat akan menjadi lebih serius dan membimbangkan dengan kenaikan harga makanan di kafeteria dan restoran selepas 1 Julai ini. Kesannya, berlakulah situasi di mana mahasiswa terpaksa menahan lapar, mencari kerja sampingan, kekurangan masa dalam menghadiri kuliah atau menyiapkan tugasan bersama rakan.

Perkara ini juga sekali gus akan mengurangkan kualiti pendidikan remaja dan belia di negara ini yang sepatutnya menjadi hal terpenting untuk masa depan negara. Oleh yang demikian, PEPIAS mencadangkan agar pihak kerajaan menyediakan inisiatif dalam membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh mahasiswa di universiti.

PEPIAS turut mencadangkan pelaksanaan program-program bantuan dan sokongan seperti bantuan tunai secara bersasar kepada mahasiswa, kupon bantuan makanan, agihan bekalan bahan mentah, bengkel literasi kewangan dan sebagainya.
Justeru, PEPIAS sentiasa bersedia untuk bekerjasama dari pelbagai sudut dalam memastikan kebajikan mahasiswa dipenuhi.

Muhammad Taufiq Hidayah Mohamad Kuturi
Setiausaha Agung
Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS)