Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Nancy Shukri. Foto AMIRUL SHAUFIQ 23 NOVEMBER 2021.

SHAH ALAM – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) hari ini melancarkan melancarkan Program Minat Khas Di Bawah Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 (PRE 2.0) yang dijangka memanfaatkan 54,000 pengguna.

Program ini merupakan kesinambungan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0), insiatif yang melibatkan penyaluran insentif kepada rakyat Malaysia dalam bentuk
diskaun, baucar dan rebat.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program ini melibatkan penawaran pakej pelancongan dan baucar menarik dengan sasaran jualan keseluruhan bernilai RM6,753,420.

Jelas beliau, program ini akan diperluaskan secara berperingkat-peringkat melibatkan Kluster Pengangkutan Udara dan Kluster Penginapan selain Kluster Pelancongan Minat Khas merangkumi segmen selam skuba, inap desa, beli-belah dan taman tema.

“Inilah cara kerajaan nak legakan masalah yang dihadapi sebab ramai bercakap tentang ekonomi tidak menentu inflasi dan macam-macam tetapi kerajaan masih mampu membantu melalui pelancongan,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian di Wet World Water Park.

Ujarnya, program ini menyasarkan warganegara Malaysia dengan penebusan maksimum tiga kali di taman tema atau pusat hiburan keluarga berlainan,”

Beliau berharap program ini akan dapat membantu pemain industri pelancongan untuk terus berkembang baju selepas pandemik Covid-19.

“Dalam hal ini MOTAC membantu kerajaan dan kita nak ransang kembali ekonomi dalam negara kita,”tambah beliau.

Sebagai rekod, penganjuran kali ini melibatkan kerjasama Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (MATFA), Persatuan Penyelam Skuba Malaysia (MSDA) dan Persatuan Kampungstay & Homestay Malaysia (MKHA).

Menerusi program yang bermula hari ini sehingga 31 Disember depan, pengguna boleh mendapatkan potongan sehingga 40 peratus dan e-baucar bernilai RM10 bagi setiap pembelian tiket masuk ke taman tema dan pusat hiburan keluarga yang terlibat bermula 24 Jun sehingga 2 Oktober 2022.

Kempen “Jom Dive 2.0” pula menawarkan diskaun sebanyak RM400 bagi setiap pembelian pakej selam skuba berharga RM1,000 dan ke atas dalam satu transaksi melalui laman web www.xtvt.com.my.

Sementara itu, di bawah kempen “Jom Cuti di Homestay”, pengguna yang layak berpeluang menikmati sebanyak RM50 hingga RM300 bagi setiap pembelian pakej berharga RM100 dan ke atas dengan penebusan maksimum sehingga tiga kali.-MalaysiaGazette