Gambar yang dimuatnaik Mohd Puad di laman Facebook menunjukkan Isham mengangkat sumpah jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor yang digugurkan, Isham Jalil, dilantik menjadi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Berita mengenai pelantikan Isham itu dikongsikan ahli MKT, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi di Facebooknya sebentar tadi.

“Tahniah Sdr Isham Jalil,” katanya menerusi hantaran ringkas di laman sosial itu.

Mohd Puad turut menyertakan sekeping gambar menunjukkan Isham mengangkat sumpah ke jawatan itu.

Perkongsian oleh Mohd Puad itu mendapat reaksi pantas daripada rakan-rakan laman sosialnya dengan rata-rata mengucapkan tahniah kepada Isham.

Antara memberikan reaksi, Aneef Anarqi Aneef yang memberitahu “Yang saya harapkan, tahniah Isham Jalil.

Turut mengucapkan tahniah Nazlee Ismail yang berkata, “Alhamdulillah…Tahniah IJ (Isham Jalil)..Harapan kami di belakang ni..perjuangan UMNO BN berterusan, negara makmur rakyat sejahtera.

Terdahulu, kelibat Isham dilihat di pekarangan bangunan Menara Dato Onn di sini, ketika MKT UMNO mahu mengadakan mesyuarat.

Kehadiran beliau mencetuskan tanda tanya dalam kalangan pengamal media yang membuat liputan kerana beliau bukanlah anggota MKT.

Bagaimanapun, menerusi hantaran yang dibuat oleh Mohd Puad sebentar tadi ia telahpun menjelaskan segala persoalan yang timbul. – MalaysiaGazette