KOTA BHARU – Dakwaan subsidi minyak masak akan ditarik balik bermula 1 Julai ini adalah tidak berasas sama sekali.
Ini kerana kerajaan hanya melupuskan subsidi minyak paket dan botol yang diperkenalkan ketika krisis kesihatan pandemik Covid-19.
Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman berkata, pengenalan subsidi minyak paket dan botol ketika itu sebagai usaha kerajaan meringankan beban rakyat untuk seketika.
“Sekarang apabila sudah berlaku peralihan ke endemik, harga minyak masak bagi paket dan botol dikembalikan pada status asal.
“Harus diingat, tidak ada mana-mana kerajaan terdahulu yang memberikan subsidi untuk minyak botol yang ada di pasaran. Jadi, tidak ada isu nak dibangkitkan,” katanya hari ini.
Selasa lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, subsidi minyak masak tulen boleh dua hingga lima kilogram akan dimansuhkan bermula 1 Julai ini.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan pada 22 Jun lalu menafikan dakwaan mengatakan kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak secara keseluruhannya.
Sebaliknya, kata beliau, subsidi minyak masak berpaket dikekalkan dengan peruntukan RM4 bilion sepanjang tahun ini.
Menurut Zaluzi, dalam keadaan ekonomi negara-negara lain yang juga kritikal, setidaknya kerajaan Keluarga Malaysia masih mengekalkan sejumlah subsidi untuk diberikan kepada rakyat.
Katanya, amat tidak adil jika dakwaan dan tuduhan bahawa kerajaan menghapuskan semua subsidi minyak masak dimainkan tanpa berpaut kepada fakta sebenar.
Justeru, beliau mengajak rakyat untuk melihat kepada fakta yang jelas dan tidak termakan dengan dakyah serta fitnah pembangkang dan pihak tertentu yang tidak selesa dengan pendekatan mendahulukan rakyat oleh Perdana Menteri. – MalaysiaGazette