Nur Hidayati Duwaijah Mazlan

KUALA LUMPUR – Polis mempergiatkan usaha mengesan seorang kanak- kanak perempuan, Nur Hidayati Duwaijah Mazlans yang dikhuatiri hilang selepas keluar meninggalkan rumahnya di Kampung Bandar Dalam Sentul di sini sejak Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, siasatan mendapati kanak-kanak berusia 17 tahun tersebut telah dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Sri Suajaya Kondominium Kampung Bandar Dalam Sentul pukul 7.20 malam pada 20 Jun lalu.

“Nur Hidayati dikatakan telah keluar dari rumah mereka untuk ke kedai namun sehingga kini kanak-kanak tersebut masih gagal dihubungi dan tidak pulang ke rumah,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Tambah beliau, pengadu iaitu ibu kepada mangsa telah beberapa kali cuba untuk menghubungi telefon bimbit milik anak perempuan namun gagal.

Menurutnya, pengadu memaklumkan kali terakhir anak perempuannya dilihat memakai baju berwarna merah dan seluar berwarna hitam.

“Selain itu anaknya (mangsa)  berbadan sederhana dan kedua-dua mata berwarna coklat dan kehilangan kanak-kanak ini telah dihebahkan melalui Nur Alert,” katanya.

Polis Kuala Lumpur menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kehilangan kanak-kanak ini diminta untuk tampil memberikan keterangan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Noramalina Md Jamil di talian 017-3185868 atau boleh juga menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul ditalian 03-40482222.- MalaysiaGazette