FGV

BERMULA tarikh 22 Jun 2022, sehari sebelum mesyuarat Agung FGV, Felda telah diserang bertalu-talu oleh pihak yang berkepentingan.

Ini didalangi orang-orang koporat yang menggunakan orang-orang politik untuk mewujudkan sentimen kebencian dan melebarkan lagi jurang keyakinan peneroka terhadap Felda.

Sebagai Ketua Peneroka Kebangsaan Felda, saya ingin menasihati diri saya dan sahabat-sahabt Ahli JKKPP, warga peneroka dan warga Felda agar tidak melatah dan terikut-ikut dengan proganda yang diviralkan dalam media sosial.

Saya melihat isu ini sengaja diuar-uarkan dan saya terpanggil untuk menceritakan sedikit kronologi tentang FGV ini.

Semasa Tan Sri Bakke Salleh menjadi Pengerusi Felda, sudah ada kedengaran usaha-usaha dari kumpulan ini untuk mengambil alih FGV dengan menekan harga sahamnya jatuh sehingga 0.65 sen.

Pada 10hb Ogos 2019, saya bersama Pengerusi Felda Tan Sri Bakke dan semua ahli lembaga telah dipanggil ke Pejabat Perdana Menteri semasa itu untuk YAB Perdana menerangkan hasrat seorang taikun yang berhasrat untuk mengambil alih pegangan saham FGV, saya selaku Ketua Peneroka Kebangsaan Felda diberi peluang untuk bercakap dan memberikan pandangan tentang perkara itu.

Pendekkan cerita, saya memberikan pandangan tidak bersetuju dengan apa yang diterangkan oleh PM.

Bagaimanapun saya tetap merayu kepada pihak kerajaan di masa itu agar dapat membantu Felda,supaya FGV tidak terlepas ke tangan org lain.

PM ketika itu menjawab dengan bersahaja, kerajaan tiada duit, sudah habis kena rompak.

Secara tidak sengaja,kelopak mata saya bergenang, risau, gelabah, sedih,sakit hati memikirkan apa akan terjadi sekiranya FGV diambil oleh pihak lain tapi saya tekadkan hati untuk bersuara dengan nada sayu dan merayu walaupun dalam keadaan marah.

Untuk makluman semua juga,sebelum semua ahli lembaga Felda dipanggil mengadap Perdana Menteri ketika itu, saya telah membuat satu surat bantahan dan tidak bersetuju kepada YB Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menteri yang menjaga hal ehwal Felda.

Saya hantar dengan tangan berjumpa Mohamed Azmin di pejabat beliau di Putrajaya, perkara yang sama saya sampaikan juga kepada Tan sri Bakke, Pengerusi Felda dan pada dasarnya, kedua-dua mereka tidak bersetuju FGV dikuasai oleh orang lain.

Untuk makluman semua,saya juga ada buat sidang akbar, saya jemput semua ahli JKPP, MBFM, KAF dan NGO-NGO berkaitan untuk membantah perkara ini.

Kumpulan-kumpulan ahli koprat yang ada kepentingan untuk mengambil alih FGV ini tidak berpuashati dengan tindakan saya, mereka berusaha untuk melaga-lagakan, memecahbelahkan kebersamaan di antara kami dan ada beberapa NGO nampak sudah mula masuk perangkap.

Perkara ini senyap seketika,saya merasa lega sehinggalah kerajaan baharu mengambil alih pucuk pimpinan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

YAB Perdana Menteri telah melantik YB Tan Idris Jusoh, Ahli Parlimen Besut sebagai Pengerusi Felda.

Sebelum itu saya telah mendengar dari sumber-sumber yang boleh dipercayai Idris akan dilantik sebagai Pengerusi Felda.

Saya mengambil peluang ini iaitu seminggu sebelum dilantik sebagai Pengerusi Felda, saya telah berkunjung ke rumah Idris di Putrajaya bersama Presiden KAF (Kami Anak Felda) dan seorang rakan ahli politik.

Idris terkejut dan beliau pun tidak tahu akan dilantik sebagai Pengerusi Felda.

Bagaimanapun,sebelum kami beredar dari rumah beliau, beliau meminta saya menggariskan 10 perkara utama untuk beliau tangani sekiranya beliau dilantik sebagai Pengerusi Felda.

Hari itu juga saya telah menggariskan 10 perkara yang diminta dengan berbincang dengan rakan-rakan lain.

Di dalam 10 perkara yang diminta itu, ada termasuk cadangan pengambilalihan semula FGV dan pembatalan perjanjian LLA yg diserahkan kepada FGV kembali semula kepada Felda.

Alhamdulillah, pada tanggal 1 Mei 2020 dengan rasminya, Idris telah dilantik sebagai Pengerusi Felda yang baharu dan beliau masuk pjbt pada 14 Mei 2020.

Bermula dari detik itu, Idris telah banyak membuat perubahan-perubahan tentang hala tuju Felda serta kebajikan peneroka termasuklah berusaha memohon bantuan kerajaan untuk mengambil alih FGV.

Saya bersama Ahli Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) amat menghargai usahanya selama ini mempertahankan FELDA dan FGV untuk kembali ke fungsi asalnya.

Kejayaan demi kejayaan telah dibuat semasa era Idris sebagai Pengerusi Felda.

Berbalik kepada FGV, usaha Idris telah berjaya mendapatkan Sukuk 9.9 bilion dari kerajaan ketika itu yang membolehkan Felda menguasai pegangan di dalam FGV.

Ini dianggap permulaan untuk mengembalikan kegemilangan FELDA dan keyakinan peneroka terhadap Felda.

Kalau tidak kerana perjuangan kita bersama,FGV sekarang bukan milik Felda, kita hargai perjuangan kita bersama..

Di mata orang-orang korporat, FGV adalah angsa berlian yang sangat berharga.

Usaha mereka untuk mengambilalih FGV telah dijalankan sejak dahulu lagi.

Sejak disenaraikan, FGV tidak pernah mendapat keuntungan lebih dari sebelum ini dan sebelum Felda menguasai 82%,keuntungan FGV begitu merosot sekali.

Apabila Felda menguasai 82% ke atas FGV, FGV dalam laporan kewangannya tahun 2021 telah membuat keuntungan lebih dari RM1 bilion.

Sentimen kenaikan elaun ini yang dimainkan oleh kumpulan tertentu telah menjadi modal dan cerita-cerita yang direka-reka telah ditularkan sebelum mesyuarat agung FGV pada 23 Jun 2022.

FGV telah menjadi lebih baik melalui penstrukturan semula korporat sejak kebelakangan ini.

Pengarah-pengarah baru telah dilantik seperti biasa dilakukan di mana-mana syarikat tersenarai awam di bawah Bursa.

FGV perlu mengekalkan yang terbaik untuk terus meningkat kerana untuk memberikan pulangan terbaik kepada pemegang saham terutamanya FELDA.

Kajian perbandingan tentang yuran pengarah telah dilakukan mengikut perkembangan industri dan kenaikan yuran tidak pernah disemak sejak 10 tahun lepas.

Sebagai syarikat senarai awam, di bawah bursa, kenaikan yuran pengarah-pengarah telah dibuat dan diluluskan dalam mesyuarat agung.

Saya yakin dan percaya keuntungan berterusan kepada FG akan membawa impak positif kepada Felda dan peneroka.

Saya berdoa agar keyakinan peneroka terhadap Felda terus di kekalkan.

Sulong Jamil Mohamed Shariff, Ketua Peneroka Kebangsaan Felda.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast