Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto HAZROL ZAINAL, 12 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa Perdana Menteri menyatakan penegasan segera berhubung kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terkait isu Kepulauan Riau.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga memandang serius kenyataan yang disuarakan oleh Ahli Parlimen Langkawi itu.

“Saya menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri (Yaakob) untuk menyatakan penegasan segera agar ia tidak berlarutan kerana pandangan tersebut tidak mewakili kerajaan atau rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya hari ini.

Ahli ParlimenPort Dickson itu juga menyatakan penjelasan juga diperlukan segera bagi mengelak dan menjejaskan hubungan diplomatik yang erat antara Malaysia dan Singapura serta Indonesia.

Terdahulu, sebuah akhbar sebagai memetik Dr Mahathir menyatakan Singapura pernah dimiliki oleh Johor dan negeri berkenaan sepatutnya menuntut Singapura dikembalikan semula kepada Malaysia.

Media juga memetik Dr Mahathir menyatakan bukan hanya Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh harus dikembalikan sebaliknya beliau turut mencadangkan supaya Malaysia menuntut semula Riau dan negara republik jiran itu dengan justifikasi sejarah membuktikan kedua-dua tempat itu adalah sebahagian Tanah Melayu. – MalaysiaGazette