Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Sistem Bekalan Air di Kampung Bukit Kuin disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini

KUANTAN – Kemelut penduduk Bukit Kuin yang menghadapi gangguan bekalan air akhirnya selesai apabila menerima peruntukan khas Kementerian Kewangan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sebanyak RM5.7 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan tersebut bagi projek menaik taraf  sistem bekalan air di Kampung Bukit Kuin itu telah dimulakan sejak Januari lalu dan dijangka siap sepenuhnya April tahun depan.

Beliau turut memberi jaminan projek tersebut akan disiapkan dalam tempoh yang dijadualkan dan pihaknya juga mengingatkan pihak kontraktor bakal berdepan tindakan sewajarnya jika gagal.

“Kita beri jaminan projek ini dapat disiapkan mengikut jadual, namun kalau dapat siap lebih awal, lagi bagus kerana ia dapat memberi manfaat kepada penduduk.

“Kerajaan negeri akan selesaikan isu air dan berharap rakyat memahami bahawa perkara ini tidak boleh diselesaikan secepat mungkin dan banyak perkara serta tindakan yang kita perlu lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan pecah tanah projek naik taraf sistem bekalan air di kampung berkenaan Bukit Kuin di sini hari ini.

Ujar Wan Rosdy, kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan isu air yang dibawa pembangkang sebaliknya berusaha menyelesaikannya secara berfasa kerana melibatkan peruntukan yang besar.

Antara skop kerja yang yang dikendalikan oleh Wadiaz Bina  melibatkan pemasangan paip utama jenis MSCL berdiameter 300mm sepanjang 600 meter termasuk tiang penyokong di Jalan Sungai Lembing dari jambatan Sungai Riau hingga kilang papan Bukit Kuln.

Selain itu, pembinaan tangki sedutan berkapasiti 300,000 liter, pembinaan rumah pam penggalak serta pemasangan palp pengepaman jenis MSCL berdiamater 200mm sepanjang 2,100 meter dari Rumah Pam Penggalak hingga Tangki Simpanan Baru Kampung Bukit Kuin juga dilakukan.

Difahamkan kerja pembinaan Tangki Simpanan Baru Kampung Bukit Kuin berkapasiti 900,000 liter dan membabitkan pemasangan paip jacking di Jalan Sungai Lembing juga Jalan Kampung Bukit Kuin dilakukan pihak kontraktor termasuk kerja-kerja mekanikal dan elektrikal.

Sebanyak 5,700 akaun pengguna terbabit termasuk perkampungan tradisional yang terletak di pinggir bandar raya Kuantan tersenarai dalam rekod Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).

Dilaporkan lebih 100 laporan kebocoran paip dilaporkan di kampung itu sejak dua tahun lalu dipercayai berpunca sistem saluran paip lama. – MalaysiaGazette