Noraini Ahmad Higher Education IPT IPTS IPTA back to campus
Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana prihatin terhadap keperluan para pelajar.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, pelaksanaan Program Dermasiswa B40 Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) baru-baru ini salah satu bukti keprihatinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Pelaksanaan program ini dikhususkan kepada 1,000 pelajar dari keluarga golongan B40 yang mengikuti pengajian dalam bidang TVET di peringkat Diploma atau Ijazah Sarjana Muda di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) iatu Universiti Awam, Politeknik serta
Kolej Komuniti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Noraini, penawaran akan dibuat kepada pelajar yang layak dan telah ditawarkan tempat pengajian melalui Sistem Permohonan Kemasukan Pelajar di Laman Sesawang Rasmi Kemasukan Pelajar upu.mohe.gov.my atau melalui Sistem Permohonan Kemasukan Pelajar di IPT masing-masing.

Antara syarat khas yang dikenakan ialah pelajar memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun semasa bagi pengajian ke peringkat Diploma; dan memperoleh Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf pada tahun semasa bagi pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Tempoh penajaan yang ditawarkan ialah tiga tahun kepada pelajar peringkat Diploma dan empat tahun kepada pelajar Ijazah Sarjana Muda. – MalaysiaGazette