Wajah-wajah riang graduan UMS selepas majlis konvokesyen semalam.

KOTA KINABALU  – Seramai 4,319 graduan bagi tahun 2021 Universiti Malaysia Sabah (UMS) diraikan pada Majlis Konvokesyen UMS ke-23 yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam.

Daripada jumlah tersebut, seramai 204 graduan adalah penerima Ijazah Kelas Pertama, selain 99 graduan merupakan pelajar antarabangsa UMS dari pelbagai negara antaranya dari China, Brunei, Indonesia, Bangladesh, Timor Leste, Pakistan, Korea Selatan, Iran, Zanzibar, Vanuatu, Arab Saudi dan India.

Sementara itu, seramai sembilan pelajar orang kurang upaya (OKU) dan dua penerima posthumous turut menerima ijazah.

Majlis konvokesyen pada kali ini menyaksikan seramai 77 graduan Doktor Falsafah, 357 graduan sarjana, 3,664 graduan prasiswazah, 87 graduan diploma pasca dan 134 graduan diploma menerima skrol dengan nisbah graduan mengikut jantina ialah 1:3 iaitu lelaki seramai 1,272, sementara perempuan seramai 3,047.

Bertempat di Dewan Canselor UMS, sidang pertama menyaksikan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menyampaikan ijazah kepada 461 graduan.

Beliau yang juga Canselor UMS turut menyampaikan anugerah Pelajaran Diraja (Bumiputera dan Bukan Bumiputera), Pingat Emas Canselor, Pingat Emas Naib Canselor, Pingat Emas Alumni, Hadiah Zainal Abidin Bador, Hadiah Tun Zaki
(Tempatan dan Antarabangsa) dan Anugerah Kecemerlangan dan Bakti Siswa HiUMS kepada graduan cemerlang.

Sidang kedua yang berlangsung pada sebelah petang pula menyaksikan seramai 987 graduan menerima ijazah masing-masing daripada Pro-Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim.

Beliau yang juga Penasihat Kehormat Ambank Group turut dijadual menyempurnakan penyampaian skrol ijazah pada hari Ahad iaitu membabitkan 732 penerima pada sidang tiga (pagi) dan 596 graduan pada sidang empat (petang).

Penyampaian ijazah pada hari Isnin akan disempurnakan Naib Canselor, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin melibatkan seramai 896 graduan pada sidang lima (pagi) dan sidang enam (petang) seramai 647 graduan.

Pada majlis ini juga menyaksikan seramai 27 graduan Fakulti Pengajian Islam (FIS)yang menjadi kumpulan pertama bergraduasi di fakulti tersebut dan menerima Ijazah Sarjana Muda Pendarasan Islam.

Untuk rekod, kesemua graduan yang diraikan pada Majlis Konvokesyen UMS ke-23 terdiri daripada mereka yang mengikuti pengajian secara sepenuh masa dan separuh masa di peringkat pascasiswazah dan prasiswazah merangkumi 12 fakulti dan 1 akademi di UMS. – MalaysiaGazette