Kren digunakan untuk menaikkan kereta yang terjunam dalam sungai di Jambatan Pantai Cicar, Kuala Ketil, Kedah dan mayat tiga beranak ditemui di dalamnya awal pagi tadi.

BALING – Mayat tiga beranak ditemui dalam keadaan berpelukan di bahagian penumpang belakang selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam dalam sungai di Jambatan Pantai Cicar di sini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufaat Kamaron berkata, mayat ketiga-tiga mangsa ditemui Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) di dasar sungai pada jam 3.30 pagi tadi.

Kesemua mangsa ditemui dalam keadaan berpelukan.

Syufaat berkata, pihaknya mengambil masa hampir 10 minit untuk menaikkan kereta jenis Proton Persona itu menggunakan kren.

“Sebaik membuka pintu, mayat Mashitoh Ibrahim, 37, ditemui bersama dua anaknya, Mohd Ziyad Zikri Sharudin, 7, dan Mohd Ziyad Haziq, 5, berada di bahagian tempat duduk belakang kereta terbabit.

“Ada kesan kerosakan di bahagian hadapan kereta dan cermin.

“Kesemua mayat diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Keadaan kereta mangsa yang terbabas sebelum terjunam dalam sungai.

Semalam, polis mengesahkan tiga beranak dikhuatiri lemas selepas kereta yang dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai di jambatan itu dalam kejadian yang disedari kira-kira jam 6 petang. – MalaysiaGazette