Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar (tengah) menyampaikan Anugerah Koperasi Terbaik kepada Datuk Dr. Othman A. Karim pada Majlis Hari Koperasi Negara Negeri Selangor 2022 di Shah Alam Convention Centre, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 25 JUN 2022.

SHAH ALAM – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mendedahkan kira-kira 1,899 koperasi di Selangor dipinggirkan daripada bantuan Kerajaan Negeri Selangor sejak Pakatan Harapan (PH) memerintah negeri itu.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, walaupun koperasi di bawah Kerajaan Persekutuan, namun institusi itu tidak sepatutnya dipinggirkan daripada mendapat bantuan peruntukan kerana ia turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi di Selangor.

“Bila saya pergi ke beberapa negeri, saya tengok Pulau Pinang, Johor, Terengganu, Pahang, Sabah, kerajaan negeri ada beri peruntukan untuk membantu koperasi.

“Tapi pelik sikit di Selangor, mengapa Kerajaan Negeri Selangor tidak memberikan peruntukan khusus untuk membantu koperasi-koperasi di Selangor?

“Jangan lupa koperasi di Selangor juga memberikan sumbangan kepada pembangunan ekonomi di Selangor,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, malam ini.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Makan Malam Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Selangor 2022 Sempena Sambutan 100 Tahun Koperasi.

Tambahnya, walaupun Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah memberikan peruntukan khas kepada koperasi, namun institusi itu mampu meraih pendapatan sehingga RM491 juta setakat akhir 2021.

“Aset koperasi-koperasi di Selangor sahaja berjumlah RM1.880.5 bilion sehingga 2021.

“Ini menunjukkan bahawa koperasi di Selangor memberikan sumbangan kepada pembangunan ekonomi di Selangor.

“Oleh itu Kerajaan Negeri Selangor janganlah tak pandang koperasi ini.

“Kalau negeri-negeri lain boleh beri perhatian dan peruntukan kepada koperasi-koperasi, kenapa Kerajaan Negeri Selangor tak bagi?

“Saya harap kerajaan negeri Selangor kena pandang sikit koperasi ini,” katanya.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri Selangor juga diingatkan jumlah keahlian koperasi di Selangor yang kini mencecah 347,726 ahli merupakan pengundi yang sah.

“Besar jumlahnya, semua ini pengundi, ingatlah sikit koperasi di Selangor bahawa kerajaan negeri Selangor tak membantu

“Walaupun tak dibantu, kita lihat koperasi di Selangor boleh hidup, macam malam ini kita bagi anugerah geran ini RM1.5 juta,” katanya lagi. – MalaysiaGazette