Hasbi (tengah) menyerahkan 20 buah basikal kepada pengusaha inap desa di Pulau Betong, Balik Pulau hari ini.

BALIK PULAU – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) memperuntukan RM1 juta bagi merancakkan semula Program Pelancongan Inap Desa di negeri ini.

Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah berkata, peruntukan itu akan memberi manfaat kepada 173 buah inap desa melibatkan 10 kampung di empat buah daerah.

Jelas beliau, menerusi peruntukan sama, peserta akan diberikan latihan serta bimbingan pengurusan yang mampu menjana pendapatan tambahan untuk masyarakat luar bandar.

Hasbi.

“Pandemik Covid-19 selama dua tahun memberikan kesan kepada mereka yang menguruskan inap desa selain ada yang terpaksa menghentikan operasi.

“Jadi, KPLB menerusi PERDA akan memperuntukan RM1 juta untuk mereka ini bangkit semula, sekali gus membuktikan keperihatinan kerajaan dalam menjaga pengusaha inap desa pelancongan di negeri ini,” katanya.

Hasbi berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program My Kampung Homestay Pulau Betong di sini, hari ini.

Pada majlis itu sebanyak 20 buah basikal pelbagai jenis disumbangkan kepada pengusaha inap desa di Pulau Betong bagi kegunaan aktiviti pelancongan.

Hasbi (tengah) selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program My Kampung Homestay Pulau Betong di sini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Focus Group Warisan, Kesenian, Budaya, dan Pelancongan, Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, Datuk Muhammad Yusof Mohd Nor; Pengerusi PERDA, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) PERDA, Mohd Asri Baharom@Harun.

Mengulas lanjut Hasbi berkata, promosi untuk pelancongan inap desa di Pulau Pinang tiada noktahnya.

“Kita akan teruskan promosi ini menggunakan pelbagai medium bagi menggalakkan lebih ramai pelancong dalam dan luar negara menggunakan inap desa sebagai destinasi percutian.

“KPLB dan PERDA berharap dengan sokongan daripada kerajaan mampu untuk merancakkan kembali sektor pelancongan inap desa selain untuk mempromosikan aktiviti di inap desa masing-masing menerusi keunikan dan ciri-ciri tersendiri seperti eco-pelancongan, dusun buah-buahan, taman negara dan bercirikan makanan tradisional dan laut”, ujar Hasbi.

Untuk rekod, Program Inap Desa Pulau Pinang mendapat kerjasama yang baik daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi pensijilan dan pengiktirafan yang dikeluarkan di bawah MOTAC untuk membolehkan inap desa ini diiktiraf dan dipromosikan melalui pelbagai medium seperti Expo MATTA Fair dan Karnival Keusahawan di bawah KPLB.

Selain itu, sebanyak RM 4.45 juta telah diperuntukan kepada pengusaha inap desa di negeri ini sejak tahun 2014. – MalaysiaGazette