Ambika (kiri) dan gambar Adelina Lisao.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Tommy Thomas perlu tampil dan menjelaskan mengapa ketika mengetuai Jabatan Peguam Negara menarik balik dakwaan terhadap M.A.Ambika daripada pertuduhan membunuh pembantu rumahnya warga Indonesia Adelina Lisao.

Desakan itu dibuat bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berkata, tindakan tersebut menyebabkan Mahkamah Persekutuan Putrajaya mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Ambika pada Khamis lalu.

“Oleh sebab pihak pendakwaan tidak memberi sebarang sebab kenapa dakwaan telah ditarik balik, hakim mahkamah tinggi telah menggunakan budi bicaranya untuk melepas dan membebaskan Ambika.

“Setelah menerima kecaman orang ramai dan tekanan keras dari negara jiran, pendakwaan pula merayu agar tertuduh hanya dilepaskan tetapi tidak dibebaskan biarpun caj telah ditarik balik.

“Namun pendakwaan kalah di peringkat mahkamah rayuan. Dan kalah lagi di peringkat mahkamah persekutan pada Khamis lalu,” kata Najib.

Adelina Lisao amah Indonesia yang mati akibat didera.

Media pada 23 Jun lalu melaporkan, Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat ketika membaca penghakimannya menyatakan, Mahkamah Rayuan telah mengambil kira bahawa Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir menggunakan budi bicaranya ketika membebaskan Ambika daripada pertuduhan membunuh itu.

Pada 21 Februari 2018, Ambika mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menyebabkan kematian Adelina, pada pukul 4 petang, 10 Februari tahun sama di rumahnya dan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pada 22 September 2020, Mahkamah Rayuan Pulau Pinang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang atas alasan pihak pendakwaan ketika itu tidak memberikan alasan kukuh apabila mengemukakan permohonan bagi Ambika dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

Dalam pada itu Najib berkata, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun wajar mengkaji semua kes itu dengan mengenakan pertuduhan penderaan terhadap Ambika.

“Saya dan ramai di Malaysia turut cukup simpati dengan kisah malang Adelina ini. Seolah-olah keadilan di Malaysia tidak wujud.

“Jadi, ianya wajar untuk Tommy Thomas memberi penjelasan kenapa dakwaan telah ditarik balik tanpa alasan diberi kepada mahkamah ketika dia menjawat sebagai Peguam Negara.

“Bagi peguam negara hari ini pula, adakah majikan patut didakwa semula atas caj-caj lain misalnya penderaan atau melakukan penderaan memandangkan caj membunuh tidak terpakai lagi?” tanya Najib.

Keputusan mahkamah tersebut mendapat perhatian rakyat dan media Indonesia.

Duta Indonesia di Kuala Lumpur, Hermono melahirkan rasa kecewa dengan keputusan itu kerana tidak dapat menuntut keadilan buat mendiang Adelina.

Adelina ditemukan sedang duduk di kawasan luar pagar rumah majikannya empat tahun lalu oleh seorang wartawan sebelum memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.

Ketika diselamatkan, amah muda itu didapati mengalami kecederaan teruk di seluruh badan dengan lengan dan kakinya dipenuhi luka bernanah akibat terbakar manakala mukanya bengkak.-MalaysiaGazette