Azrul menunjukkan antara pokok kelapa yang akan ditebang MBPP petang nanti susulan merisikokan pengguna jalan raya di Teluk Kumbar, Pulau Pinang.

TELUK KUMBAR – Sebanyak 11 pokok kelapa yang mendatangkan risiko kepada orang ramai yang melalui Jalan Teluk Kumbar, di sini, akan ditebang hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata, ia susulan kejadian seorang wanita cedera akibat ditimpa sebiji buah kelapa ketika melalui jalan berkenaan dengan membonceng motosikal yang ditunggang anak perempuannya semalam.

Azrul berkata, pihaknya juga telah melakukan tinjauan bersama wakil Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk mengenal pasti pokok yang merisikokan pengguna jalan raya khususnya yang di tepi jalan dengan melakukan proses penebangan.

Azrul.

“Sebaik mendapat maklumat mengenai kejadian saya terus ke lokasi semalam dan Alhamdulillah saya dimaklumkan oleh anak mangsa, bahawa ibu mereka kini stabil namun masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

“Sebagai langkah keselamatan selain tidak mahu insiden yang sama berulang lagi kita mengambil keputusan untuk menebang pokok di tepi jalan yang dikatakan berisiko kepada pengguna jalan raya.

“Sebanyak 11 pokok kelapa dikenal pasti dari Jalan Teluk Kumbar hingga Sungai Batu dan ia membabitkan kawasan MBPP serta tanah milik persendirian,” katanya ketika ditemui hari ini.

Tambah Azrul, proses penebangan 11 pokok kelapa itu akan dilakukan jam 2 petang ini oleh MBPP sendiri.

“Kita jangkakan akan berlaku kesesakan jalan raya susulan proses pemotongan pokok itu akan berlaku di tepi jalan utama Teluk Kumbar.

“Sehubungan itu, kita minta jasa pengguna jalan raya untuk mematuhi arahan lalu lintas ketika itu bagi melancarkan operasi,” kata beliau.

Semalam tular satu rakaman video berdurasi 28 saat yang menunjukkan sebiji buah kelapa menimpa pembonceng motosikal yang melalui Jalan Teluk Kumbar.

Berdasarkan rakaman video itu, topi keledar wanita tersebut terpelanting sebelum dia sendiri terjatuh atas jalan utama.

Mangsa kemudian dibantu orang awam dan difahamkan wanita itu mengalami cedera parah dan masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang. – MalaysiaGazette