Polis merampas lapan buah motosikal jenis Honda EX5 yang dipercayai hasil curian.

KUALA LUMPUR – Geng curi motosikal didalangi oleh lima pelajar sekolah di Ampang tumpas dalam lima serbuan polis pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kelima-lima lelaki berkenaan yang berumur antara 14 hingga 16 tahun menyasarkan motosikal jenis Honda EX5 bagi kegunaan harian.

“Mereka mempunyai kemahiran untuk menghidupkan motorsikal dengan penyambungan wayar,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, polis turut merampas lapan buah motosikal jenis EX5 yang dipercayai hasil curian.

Mengulas lanjut beliau mengesahkan tangkapan geng curi motosikal berkenaan menyelesaikan lapan kes curi di Ampang sebelum ini.

Kelima-lima pelajar berkenaan direman bermula hari tangkapan sehingga Rabu ini.

Mohamad Farouk berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan bagi mencuri sebuah kenderaan motor atau mana-mana komponen sebuah kenderaan motor.

Jika disabit kesalahan, kesemua pelaku berkenaan boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun selain denda. – MalaysiaGazette