Pengerusi Biro Pengguna Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil (tiga kanan) bersama Pengarah Biro Mobilisasi Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Sany Hamzan (dua kiri) menyerahkan memorandum kepada Ketua Unit Komunikasi Korporat Kementerian Kewangan (MoF), Chua Hun Chiew (tengah) mengenai rakyat mendesak kerajaan tangani kenaikan harga barang dengan segera di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 27 JUN 2022.

PUTRAJAYA — Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini menyerahkan memorandum mendesak kerajaan menangani kenaikan harga barang.

Pengarah Biro Penggunanya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, memorandum yang diserahkan kepada wakil Kementerian Kewangan menuntut tiga perkara selain menggesa kerajaan bertindak secara proaktif dan mengambil langkah drastik dalam menangani isu itu.

“Ini bukan isu politik, tetapi ini adalah isu poket rakyat yang semakin kering secara realitinya berlaku di bawah. Rakyat hari ini merungut dengan harga barang naik, kita semua tahu di media sosial dan melalui laporan media mengenai kenaikan harga saban hari.

“Harga tepung dan ayam naik, sehinggakan menjadi tidak terkawal lagi, seolah-olah tiada keputusan tuntas oleh kerajaan pada hari ini”

“Subsidi ini perlu dikembalikan supaya harga dapat distabilkan dan dikurangkan untuk kepentingan rakyat.” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Bangunan Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.

Pengerusi Biro Pengguna Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil bercakap kepada media selepas menyerahkan memorandum kepada wakil Kementerian Kewangan (MoF) mengenai rakyat mendesak kerajaan tangani kenaikan harga barang dengan segera di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 27 JUN 2022.

Tambah beliau, kerajaan perlu mengembalikan subsidi ke atas semua barang makanan yang diberikan sebelum ini

Jelasnya, ketika Covid-19 menular di negara ini, rakyat bersatu mengibarkan bendera putih dan 1 Julai depan merupakan ‘hari hitam’ buat rakyat Malaysia kerana beberapa subsidi ke atas barang-barang mentah akan dipotong.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir itu, memorandum yang diserahkan juga meminta sistem AP (Permit Import Terbuka) diliberalisasikan kerana sistem tersebut telah mewujudkan monopoli dalam bekalan makanan menyebabkan ia dikawal oleh kartel-kartel.

“Apabila ia dikawal oleh pihak-pihak tertentu yang menyebabkan bekalan kurang pada masa-masa tertentu yang mengakibatkan harga barang itu naik.

“Kita mahukan supaya pasaran lebih kompetitif dan terbuka supaya harga dapat distabilkan.” ujarnya.

Faiz turut menggesa kerajaan mengadakan sidang khas parlimen bagi membahaskan -isu-isu melibatkan kepentingan rakyat bagi mengorak langkah-langkah efisien yang boleh diambil kerajaan.

Jelas beliau, bukan golongan B40 sahaja yang terkesan dengan kenaikan harga barang, malah, golongan M40 juga turut terbeban.

Pengarah Biro Mobilisasi Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Sany Hamzan bercakap kepada media selepas menyerahkan memorandum kepada wakil Kementerian Kewangan (MoF) mengenai rakyat mendesak kerajaan tangani kenaikan harga barang dengan segera di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 27 JUN 2022.

Sementara itu, Pengarah Biro Mobilisasi Amanah, Mohd Sany Hamzan berkata, satu perhimpunan aman berhubung kenaikan harga barangn yang dikenali ‘Sayangi Kerajaan UMNO/Barisan Nasional’ akan diadakan di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1 Julai depan.

“Tarik lagi subsidi, naikkan harga barang, naikkan tarif elektrik, naikkan harga telur dan harga ayam. Tiada masalah pun sebab rakyat dalam negara ini apa juga yang dibuat kerajaan, rakyat tak marah,” katanya menyindir. – MalaysiaGazette