Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berucap pada Majlis Perhimpunan Dwibulanan Agensi Hal Ehwal Agama dan Penyampaian Amanat Menteri di Auditorium Jakim, Kompleks Islam Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 27 JUN 2022.

PUTRAJAYA – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menubuhkan semula Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS) bagi memartabatkan sistem perundangan syariah.

Menterinya, Senator Datuk Idris Ahmad berkata, dengan penubuhan semula JKMMS itu, sistem perundangan syariah dapat dilaksanakan dengan lebih holistik.

Ini katanya, selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Jawatankuasa ini dianggotai 12 pakar perundangan dan pentadbiran Islam di Malaysia dan dipengerusikan mantan Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha.

“Mengikut sejarah, JKMMS ini asalnya dibentuk Ogos 2017 dan terhenti selepas berlaku pertukaran kerajaan persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

“Apabila saya diberikan amanah sebagai Menteri, saya fikir JKMMS ini perlu diwujudkan kembali untuk bergerak secara berstruktur dan terancang bagi melihat ruang penambahbaikan Mahkamah-mahkamah Syariah,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan DwiBulanan Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Auditorium JAKIM, di sini, hari ini.

Kata Idris, sudah tentu dengan adanya jawatankuasa itu, agenda dan perjuangan untuk memartabatkan undang-undang Syariah akan lebih mantap.

Menurut beliau, Jabatan ketua Syarie Malaysia (JKSM) diberi tanggungjawab untuk menjadi urus setia dan sekretariat jawatankuasa itu.

“Jawatankuasa ini akan berfungsi mengikut terma rujukan dan perlu mengikut lunas serta tertibnya termasuk merujuk kepada pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua agensi bawah JPM Hal Ehwal Agama yang berjaya menguruskan program berskala besar dalam tempoh terdekat ini.

Antara program itu, Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat kebangsaan di Johor Baharu, menguruskan 14,306 kuota jemaah Haji Musim Haji 1443H, Ijtimak Asatizah Malaysia, Multaqa Murabbi Ummah peringkat negeri dan Program Musa’adah Agensi-agensi.

Kata Idris, sepanjang Mei lalu, jabatan itu telah memperuntukkan RM116.2 juta untuk program Musa’adah dan menyeru semua agensinya terus turun padang mengaktifkannya bagi membantu masyarakat yang sedang berhadapan masalah krisis sekuriti makanan.

“Pada masa sama, MAIWP bersama JAWI, Yayasan Waqaf dan YaPEIM boleh meneroka program sektor pertanian untuk menyokong usaha kerajaan bagi membantu masyarakat.

“Begitu juga keputusan peringkat agensi dan program jabatan untuk membantu masyarakat perlu disegerakan pelaksanaannya, tanpa perlu berlengah lagi.

“Saya minta Ketua-ketua agensi mengambil serius mengenai perkara ini,” katanya.

Mengenai pengiktirafan Sijil Akreditasi MS ISO/IEC 17025:2017, Idris berkata, ia akan melonjakkan lagi nama negara dan JAKIM selaku badan pensijilan halal yang unggul di dunia kerana Malaysia merupakan negara pertama memiliki makmal analisis halal yang diletakkan di bawah pentadbiran kerajaan.

Beliau juga berharap, dengan pengiktirafan itu membolehkan Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC) membuat penganalisaan dan pemantauan ke atas produk yang telah memperolehi Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta dimanfaatkan semua pihak berkuasa berwibawa pensijilan halal di Malaysia. – MalaysiaGazette