Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia terus menyaksikan aliran keluar minggu lepas, tetapi pada kadar yang lebih perlahan, sekali gus menyakikan FBM KLCI pulih sedikit walaupun berakhir di bawah paras 1,500 sekali lagi pada Jumaat kepada 1,436.70.

MIDF Research berkata, pelabur asing kembali menjadi penjual bersih minggu lepas terutamanya pada hari Isnin dan Rabu yang menyaksikan aliran keluar bersih masing-masing sebanyak RM17.2 juta dan RM189.5 juta.

Sebelum jualan besar pada hari Rabu, pelabur asing telah membeli bersih bernilai RM133.7 juta ekuiti Malaysia pada hari Selasa.

”Walaupun kami melihat pulangan kepada aliran masuk bersih pada Khamis dan Jumaat, masing-masing berjumlah RM5.0 juta dan RM6.5 juta, ia tidak mencukupi untuk mengubah arus untuk minggu ini.

”Akibatnya, minggu ini berakhir dengan aliran keluar bersih sebanyak RM61.5 juta oleh pelabur asing,” menurut firma penyelidikan itu.

Tambahnya, pelabur institusi tempatan bertukar menjadi penjual bersih semula minggu lepas selepas belian bersih selama dua minggu berturut-turut, walaupun pada kadar kecil RM7.9 juta.

Satu-satunya hari yang menyaksikan aliran masuk daripada pelabur institusi adalah pada hari Rabu dan Jumaat masing-masing berjumlah RM146.1 juta dan RM20.3 juta.

Sementara itu, pelabur peruncit tempatan terus menjadi pembeli bersih minggu lepas dengan belian bersih RM24.5 juta pada hari Isnin, RM43.4 juta pada hari Rabu dan RM36.6 juta pada Khamis.

Oleh itu, minggu itu berakhir dengan pelabur runcit menyokong pasaran dengan belian bersih sebanyak RM69.4 juta untuk tempoh lima hari.

MIDF Research menambah, setakat ini, pelabur runcit dan pelabur asing telah menjadi pembeli bersih dengan jumlah aliran masuk bersih masing-masing RM1.64 bilion dan RM6.45 bilion.

Sementara itu, pelabur institusi tempatan pula menjadi penjual bersih selama 20 daripada 25 minggu dagangan dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM8.09 bilion.

Dari segi penyertaan, pelabur runcit, pelabur institusi dan pelabur asing – semuanya mencatatkan penurunan mingguan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) masing-masing pada 15.0%, 5.9% dan 48.0%. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast