PDRM
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis masih menyiasat laporan berhubung penyelewengan wang pelanggan oleh seorang pengurus cawangan sebuah bank di Selangor.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi Subramaniam berkata, siasatan dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Bukit Aman di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan melibatkan kesalahan pecah amanah jenayah.

Katanya lagi, dalam masa yang sama Bahagian Pengubahan Wang Haram, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil turut menjalankan siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Jelas beliau, kertas siasatan yang telah lengkap akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Pada peringkat ini, siasatan polis masih berjalan dan setelah siasatan selesai, kertas siasatan polis akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk suatu keputusan,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menerusi sebuah portal berita yang mendakwa polis dan pihak bank masih belum mengambil tindakan berhubung kes penyelewengan wang pelanggan.

Terdahulu, Sasikala mengesahkan polis menerima laporan polis yang dibuat oleh bank tersebut pada 31 Januari 2022. – MalaysiaGazette