Mohd Shuhaily (tengah) pada sidang media di IPD Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Polis telah merakamkan keterangan penganjur serta peserta yang terlibat dengan flashmob turunkan harga barang di bulatan Seberang Jaya pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Suhaily Mohd Zain berkata, perhimpunan yang disertai kira-kira 30 orang peserta itu dilakukan selama 30 minit tanpa mendapat sebarang permit yang sah daripada polis.

“Setakat ini keterangan penganjur serta lapan peserta sudah dirakam dan usaha mengesan baki mereka yang menyertai perhimpunan berkenaan sedang dilakukan.

“Sejumlah 13 poster dan satu kain rentang telah dinaikkan oleh peserta perhimpunan yang mendesak kerajaan untuk menurunkan harga barang.

“Perhimpunan ini diklasifikasi sebagai perhimpunan haram kerana tidak mengikut prosedur dibawah Akta Perhimpunan Aman 2012, bagaimanapun ia berlangsung dengan aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini hari ini.

Tambah Mohd Suhaily, siasatan dibuka mengikut  Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sebaik siasatan dilengkapkan.

Dalam perkembangan sama, Mohd Shuhaily menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan perhimpunan haram dianjurkan oleh pihak berkepentingan yang tidak mengambil kira tentang ketenteraman awam.

“Contohnya perhimpunan haram yang dilakukan Jumaat lalu di kawasan yang sibuk dan berbahaya boleh mengundang perkara yang tidak diingini bukan sahaja kepada peserta malah mereka yang tidak terlibat dengan perhimpunan itu,” kata beliau. – MalaysiaGazette