Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman hadir ke Mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 17 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang digugurkan, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dijangka mengadakan satu sidang media, petang ini.

Sidang media itu dipercayai berkaitan isu pemecatan beliau daripada jawatan itu pada minggu lalu.

“Tajuddin akan mengadakan sidang media di Hotel Eastin, Petaling Jaya berhubung isu pemecatannya,” demikian menurut jemputan yang diterima MalaysiaGazette.

Terdahulu MalaysiaGazette difahamkan Ahli Parlimen Pasir Salak itu akan mengadakan sidang media di Restoran Riverside di dalam Pusat Dagangan Dunia (WTCKL).

Namun lokasi itu dimaklumkan telah diubah.

Hotel Eastin kerap kali dikaitkan dengan perjumpaan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) antaranya daripada parti PKR.

UMNO dalam kenyataannya berkata, Tajuddin digugurkan daripada jawatan MKT bagi membolehkan beliau menumpukan tugas beliau sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia, tidak lama lagi.

Malah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tindakan menggugurkan jawatan ahli MKT ke atas Tajuddin adalah keputusan parti. – MalaysiaGazette