Daniel Ting

KUALA LUMPUR – Pemain pertahanan kacukan negara, Daniel Ting kembali ke pangkuan kelab lamanya, Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas meninggalkan Kuala Lumpur City pada awal musim ini.

Berita itu dikongsikan oleh pihak kelab dimana mereka memuat naik video yang menunjukkan Daniel melawat Stadium Sultan ibrahim dan bertemu dengan Pengarah Sukan kelab, Alistair Edwards.

Sebelum ini, Daniel mencetuskan kontroversi memutuskan untuk meninggalkan skuad ibu kota itu memandangkan dia antara pemain yang tampil konsisten bersama skuad kendalian Bojan Hodak.

Presiden KLFA, Khalid Samad kemudiannya mendedahkan faktor utama mengapa Daniel meninggalkan KL City adalah kerana pemain itu enggan mengambil suntikan vaksin susulan peningkatan kes COVID-19 pada bulan Mac lalu.

“Daniel tidak mahu mengambil suntikan vaksin dan sekarang dia berada di UK. Dia dah tinggalkan KL City,” kata Khalid.

Setelah meninggalkan KL City, Selangor dikhabarkan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 29 tahun itu namun oleh kerana klausa tertentu dalam kontrak Daniel bersama KL City, Selangor tidak meneruskan usaha untuk menandatangani pemain itu.

Sementara itu, tahun 2021 menjadi kebangkitan bagi Daniel dalam saingan Liga Malaysia dimana kali terakhir beliau beraksi di negara ini ialah pada musim 2018 PKNS FC atau yang kini lebih dikenali dengan Selangor 2.

Muncul sebagai pemain paling konsisten sepanjang musim 2021, namun Daniel tidak dipanggil untuk mewakili skuad kebangsaan bagi saingan Piala AFF Suzuki 2020 yang dilangsungkan pada Disember tahun hingga Januari ini.

Di JDT, Daniel akan bersaing dengan La’Vere Corbing-Ong bagi mengisi posisi pertahanan kiri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast