Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.

KUALA LUMPUR – Datuk Wan Saiful Wan Jan hari ini menyanggah kenyataan Shahril Hamdan yang menyatakan, UMNO berpendirian tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan Bersatu itu mendakwa, kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan jelas menunjukkan kesahihan bahawa yang menolak perpaduan adalah pencinta kleptokrat dalam UMNO.

Katanya, UMNO tidak perlu berhelah lagi selepas ini seolah-olah mahukan perpaduan kerana parti itu sudah lengkap dengan pelbagai alasan yang baharu dicipta.

“Adakah ini pandangan rasmi Muafakat Nasional setelah dibawa bermesyuarat?

“Atau pencinta kleptokrat memandai-mandai cipta alasan tanpa bermesyuarat? Kluster mahkamah UMNO memang terkenal dengan perangai Abang Long yang mendominasi keputusan, berlagak seperti suara mereka adalah suara semua.

“Bila pula MN putuskan sedemikian, atau unilateral sahaja?” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Wan Saiful, UMNO menunjukkan marah kononnya tertubuh Perikatan Nasional (PN) telah menyebabkan Muafakat Nasional tidak menjadi.

Katanya, mereka tidak sedar bahawa PN telah mula berfungsi sejak Februari 2020 dan didaftarkan pada 7 Ogos tahun yang sama manakala, surat jemputan untuk menyertai MN pula adalah bertarikh 13 Ogos 2020.

“Maksudnya jemputan tu selepas PN sudahpun ditubuhkan. Kalau betul tak setuju PN ditubuhkan, kenapa jemput masuk MN selepas PN tertubuh?

“Masa bos kamu Zahid Hamidi tandatangan surat jemputan, dia terlupa bahawa dia sepatutnya marah ke?

“Kalau nak cipta alasan bagi pihak bos kamu Zahid Hamidi sekali pun, periksa la tarikh tu dulu. Jangan senang sangat kantoi,” ujarnya.

Bagaimanapun Wan Saiful berkata, kenyataan Shahril merupakan bukti jelas bahawa yang menjadi masalah dan menghalang perpaduan ialah pencinta kleptokrat dan pengikut kluster mahkamah.

“Jangan nak salahkan orang lain pula. Apa lagi alasan dan cerita yang nak direka-reka selepas ini?” tambahnya.

Media sebelum ini melaporkan, Shahril dipetik berkata, UMNO mengulangi pendirian tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai mana dimuktamadkan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021.

Katanya, terdapat beberapa asas yang jelas mengapa parti itu menolak sebarang kerjasama dengan Bersatu termasuk menerusi MN.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO berkata, Bersatu juga tidak jujur dalam kerjasama sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast