Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyampaikan sijil Aprisiasi JKPS kepada penerima pada Majlis Apresiasi Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 (JKPS) di Dewan Gemilang, Kementerian Dalam Negeri. Foto MOHD ADZLAN, 28 JUN 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menghadapi gelombang baharu pandemik Covid-19.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk menguatkuasakan semula prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sekiranya kuasa itu diberikan semula kepada pihaknya.

“Bagaimana caranya, itulah dari semasa ke semasa KKM akan umumkan. Kita di pihak KDN melalui PDRM dan beberapa agensi lagi Insya-Allah akan melakukan kerjasama itu.

“Ia bagi menjadikan isu pandemik baharu sebagai contoh menentukan ada kaedah advokasi yang akan kita lalukan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mengatakan gelombang baharu penularan jangkitan Covid-19 bakal berlaku lebih awal daripada jangkaan dua hingga tiga bulan akan datang.

Walaupun penularan pandemik secara keseluruhannya di negara ini didapati meningkat melebihi 2,000 kes pada minggu lalu namun kesannya tidak begitu serius.

Sementara itu, Hamzah turut memaklumkan Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan SOP PKP Covid-19 (JKPS) yang ditubuhkan genap setahun ditubuhkan tahun lalu akan ditamatkan pada 30 Jun ini.

Jelasnya, susulan perkembangan itu, pihaknya juga akan menamatkan Op Patuh yang digerakkan agensi di bawah KDN bagi membantu KKM menguatkuasakan SOP Covid-19 sebelum ini.

“Tidak ada lagi (Op Patuh) tamat pada 25 Jun 2022, cuma kuasa itu hanya akan terpakai kuasa mengikut undang-undang sedia ada.

“Kalau mengikut akta tersebut, jika melakukan kesalahan yang melanggari undang-undang itu, kena adalah cuma itu di bawah KKM, masih lagi ada seperti dulu sebelum pandemik Covid-19, itu sama.

“Cuma kuasa yang terpakai masa pandemik itu yang diturun kuasa kepada banyak agensi, yang itu sahaja kita tamatkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette